Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Wednesday, April 14, 2010

MIC mahu muka baru calon BN

KUALA LUMPUR 13 April - Barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN) perlu mempertimbangkan kehendak pengundi sebelum memutuskan calon yang akan diletakkan sebagai wakil parti itu untuk memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, P. Palaniappan berkata, menerusi beberapa penyelidikan yang dilakukan di Hulu Selangor mendapati, penduduk di situ majoritinya mahukan anak jati tempatan diletakkan sebagai calon BN.

"Walaupun MIC mahukan Timbalan Presiden MIC, G. Palanivel diletakkan sebagai calon BN, kita juga harus pertimbangkan kemahuan penduduk yang merupakan penentu kemenangan kerusi PRK itu nanti.

"Mereka mahukan seorang muka baru sebagai calon BN dan kehendak mereka harus diteliti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kemungkinan besar, Timbalan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, V. Mugilan yang merupakan anak tempatan dilahirkan di Ladang Kerling, Kuala Kubu Bahru serta berkelulusan dalam jurusan Sastera dan Sains Sosial dari Universiti Malaya diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil itu.

Katanya, MIC harus memikirkan cara terbaik untuk menarik hati pengundi bagi memastikan kemenangan BN.

"Kita bukan tidak mahu menyokong kehendak Presiden, S. Samy Vellu, tetapi kemungkinan jika kita tidak mengikut kehendak pengundi, susah untuk BN dapatkan sokongan penuh mereka," katanya.

Tambah Palaniappan, pengundi bukannya seperti dahulu yang mengundi semata-mata kerana parti.
"Pengundi sekarang sudah pandai untuk menilai kredibiliti seseorang calon itu," jelasnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...