Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Saturday, March 20, 2010

Bidas Anwar 'jaja' nama Agong

KUALA LUMPUR 19 Mac - Pelbagai pihak hari ini membidas Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong dengan sewenang-wenangnya. Perbuatan Ketua Pembangkang itu disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab selain memperlihatkan sifat sebenar Anwar yang sanggup berbohong untuk memenuhi cita-cita politiknya.


Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian berkata, pendekatan Anwar menggunakan nama kedudukan pemimpin tertinggi itu bukan sahaja melanggar 'arus' malah ia berupaya mengundang keadaan yang buruk kepada negara.

"Masyarakat kita bukan sahaja mahu pemimpin yang berwibawa tetapi juga mempunyai prinsip tersendiri.

"Pemimpin harus menggunakan kedudukan untuk memenuhi keperluan masyarakat dan bukannya merebut kuasa semata-mata," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan berani Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang memecahkan 'tembelang' Anwar sewaktu membahaskan usul di Dewan Rakyat kelmarin berhubung pembohongan impian '16 September' membentuk kerajaan Pusat.

Antara pembohongan Anwar yang didedahkan Zahrain ialah dakwaan kononnya Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan melompat parti sudah mencukupi selain 'menjaja' nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin kononnya Seri Paduka telah menunggu di istana untuk mengesahkan jumlah itu.

Menurut Zahrain, Anwar turut mendakwa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikannya sebagai Perdana Menteri keenam sekiranya berjaya membentuk kerajaan manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menyokong pelantikan itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, pendedahan Zahrain tersebut menunjukkan wujud ketidakikhlasan dan tipu muslihat di kalangan sesama ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selain itu, beliau menyifatkan, dakwaan Anwar yang kononnya mendapat sokongan ATM sebagai sesuatu yang tidak munasabah.

"Tentera Malaysia tidak langsung terlibat atau berniat untuk merampas kuasa kerana bukan budaya kita sebegitu," katanya.

"Kalaulah benar dakwaan itu, sudah lama kita berbuat demikian sejak peristiwa 13 Mei iaitu sewaktu negara dalam keadaan huru-hara," katanya.

Tambah beliau, kekecohan yang berlaku di sebalik keamanan yang dinikmati negara ketika ini hanya dicetuskan pihak pembangkang.

Dalam pada itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Bakar berkata, tindakan Zahrain memecahkan 'tembelang' Anwar akan membuka mata masyarakat untuk menilai sifat sebenar pemimpin yang diibarat kaca atau intan.

Beliau berkata, akan tiba pada satu masa nanti, rakyat akan membuat keputusan untuk tidak memilih yang 'kaca' apatah lagi mempercayai segala pembohongan yang dilakukan.

"Tindakan Zahrain akan menyebabkan rakyat berfikir dan membuat penilaian semula secara keseluruhan terhadap PKR.

"Ini amat berguna kepada rakyat untuk memilih ahli Parlimen yang benar-benar bersikap jujur dalam perjuangan mereka," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...