Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Saturday, March 6, 2010

PKR umum tindakan terhadap Zulkifli hari ini

Jawatankuasa disiplin sudah selesai bermesyaruat: Saifuddin

KUALA LUMPUR: Keputusan Jawatankuasa Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung tindakan yang akan dikenakan terhadap Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin akan diketahui hari ini.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, berkata jawatankuasa itu sudah membuat keputusan berhubung tindakan Zulkifli yang membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengenai isu kalimah Allah dan akan mengumumkannya selepas mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan pembangkang, hari ini.


"Saya dimaklumkan, jawatankuasa disiplin sudah selesai bermesyuarat dan membuat keputusan mengenai Zulkifli. Keputusan akan dibawa ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Pembangkang esok (hari ini) dan diumumkan selepas itu," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Zulkifli yang bertindak keluar daripada sesi perbicaraan kes disiplinnya kelmarin selepas tidak mengiktiraf anggota panel dilantik PKR bagi membicarakan beliau berhubung isu kalimah Allah kerana dianggotai orang bukan Islam.

Zulkifli turut mendesak kepemimpinan PKR membubarkan jawatankuasa itu yang terdiri daripada Syed Kamarulzaman Syed Kaber selaku pengerusi, Goh Keat Peng, Chew Swee Yoke dan T Kumar dan menubuhkan jawatankuasa baru terdiri daripada panel beragama Islam.

Saifuddin berkata, isu untuk membubarkan jawatankuasa itu dan penubuhan satu jawatankuasa baru yang memenuhi tuntutan Zulkifli tidak timbul kerana ia membicarakan kes laporan polis yang dibuat Zulkifli, bukan pendiriannya mengenai isu kalimah Allah.

"Beliau diberi peluang untuk mengemukakan bantahan dan kita tangguhkan perbicaraan untuk meneliti bantahan beliau, tapi apabila diberitahu yang bantahan beliau ditolak dan kita akan teruskan perbicaraan walau apa juga tindakan beliau, beliau tetap keluar.

"Isunya di sini jelas iaitu isu perlanggaran disiplin. Memang ada pelbagai pandangan berhubung isu kalimah Allah di kalangan ahli parti tapi tidak perlu sehingga tahap membuat laporan polis terhadap pemimpin parti sahabat," katanya.

Ditanya sama ada Zulkifli turut membangkitkan isu tidak puas hati terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika menghadap jawatankuasa, Saifuddin berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu, namun isu tidak puas hati terhadap pemimpin parti lain tidak pernah dibangkitkan dalam mana-mana jawatankuasa disiplin parti sebelum ini. - Berita Harian

1 comment:

  1. kena pecat juga akhirnya YB Zul ni. kesian kat dia, perjuangkan isu kalimah Allah tp disingkirkan PKR oleh firaun kecil yg berkuasa.
    terimalah, ada hikmahNya YB.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...