Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Wednesday, March 17, 2010

Mohsin tak akan sertai semula PKR




KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bagan Serai (Bebas), Mohsin Fadzli Samsuri, tidak akan kembali menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), walaupun berjaya menyelesaikan masalah dalamannya. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Ahmad Awang, yang mahu mengadakan solat hajat terhadapnya supaya kembali ke pangkuan pembangkang.


Mohsin berkata, beliau keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas berikutan masalah dalaman parti yang gagal diselesaikan kepemimpinan PKR, malah mendakwa beliau tidak diterima pemimpin peringkat bahagian parti. “Saya tak akan patah balik (masuk PKR), maaflah, cabang (bahagian) sendiri tidak terima saya, ketua cadang kata mereka salah pilih calon,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, semalam. 

Mohsin meninggalkan parti itu selepas Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Mohamed Zahrain Hashim dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng, manakala Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menjadi wakil rakyat Bebas selepas dipecat PKR. 

Katanya, beliau menghargai jasa Ahmad yang sebelum ini banyak membantunya terutamanya bagi memenangi kerusi pada pilihan raya umum lalu, namun kekecewaannya terhadap PKR sukar diubati dan tidak mungkin akan dilupakannya. 

“Saya ucapkan terima kasih kerana beliau (Ahmad) mengenalkan saya kepada masyarakat dan pengundi terutamanya di kalangan ahli Pas dan sumbangan dia amat besar, saya berhubung dengannya dan memberitahu masalah dihadapi,” katanya. 

Beliau berkata, sebagai individu yang dianggap sebagai ulama, Ahmad tidak sepatutnya mengadakan solat hajat terhadapnya, malah tokoh agama turut menyatakan perbuatan seperti itu haram di sisi Islam.  - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...