Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Sunday, March 7, 2010

Nalakaruppan Buat Laporan Polis Dakwa Terima Ugutan Bunuh


KUALA LUMPUR 6 Mac - Bekas rakan karib Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S. Nallakarupan malam ini membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh yang diterima beliau melalui telefon bimbitnya semalam.

Beliau yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul kira-kira pukul 9 malam ini, turut ditemani bekas Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Nazmi Rosli.

Nallakarupan ketika ditemui pemberita memberitahu, ugutan bunuh itu ditinggalkan oleh pemanggil di dalam peti simpanan suara telefon bimbitnya.

Menurutnya, sebelum itu beliau menerima tiga panggilan telefon sejak pukul lima pagi hingga 12 tengah hari semalam.

Bagaimanapun katanya, panggilan pertama pada pukul lima pagi itu tidak dijawab kerana sedang tidur, namun panggilan kedua kira-kira pada pukul 12 tengah hari itu dijawabnya.

Katanya, apabila menjawab panggilan kedua itu, beliau dimarahi oleh pemanggil lalu memutuskan panggilan tersebut.

"Bagaimanapun, saya telah abaikan panggilan ketiga sebelum satu pesanan suara masuk ke telefon bimbit saya.

"Melalui pesanan suara itu, individu terbabit mengugut untuk membunuh saya dan keluarga dalam masa seminggu selain menggertak saya supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media," katanya.

Tambah Nallakarupan, pemanggil turut mengugut mahu menghantar peluru hidup ke rumah beliau.
Beliau enggan menuduh sesiapa dalam perkara itu, namun percaya individu terbabit takut dengan sebarang kenyataan yang akan dikeluarkannya.

"Mungkin ada sesetengah pihak berasa takut dan gelisah jika saya memberi sebarang kenyataan kerana mereka bersalah," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan mengenai laporan polis tersebut.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan. - Utusan

1 comment:

  1. Salam bro, beginilah keadaannya puak-puak ni.... mereka boleh menghentam orang lain, tapi jangan mereka dihentam.....alamat pelurulah dihantar mereka.... macam mana kalau dia memerintah ye ?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...