Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Saturday, March 27, 2010

BN ada peluang rampas kerusi Parlimen Hulu Selangor: PM

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN, berkata beliau percaya suasana dan senario semasa di kawasan Parlimen itu telah berubah berbanding keadaan pada pilihan raya umum Mac 2008.


"BN ada peluang untuk menang. Walau bagaimanapun mesti tumpu dan tunjuk kesungguhan untuk kerja keras demi mencapai kejayaan," kata Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn di sini malam ini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat Jumaat depan bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan beriktan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, 71, semalam akibat barah otak.

Allahyarham Zainal Abidin sebelum ini menewaskan Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel, dengan majoriti tipis 198 undi.

Najib berkata, jentera pilihan raya BN telah digerakkan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilantik mengetuai BN dalam pilihan raya kecil itu manakala Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar, dilantik sebagai pengarah pilihan raya kecil dibantu Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Datuk Idris Bakar.

Mengenai permintaan MIC untuk wakil parti itu sebagai calon BN, Najib berkata beliau akan berbincang dengan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, sebelum membuat sebarang keputusan.

Najib juga meminta semua pihak bersabar mengenai calon yang akan mewakili BN bertanding kerusi itu.

Parlimen Hulu Selangor mempunyai 63,000 pengundi, 51 peratus daripadanya Melayu, 26 peratus Cina dan 19 peratus kaum India selain kira-kira 1,000 pengundi Orang Asli.

Tiga kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor dalam kawasan Parlimen itu ialah Hulu Bernam, Batang Kali dan Kuala Kubu Baharu yang semuanya dimenangi BN dalam pilihan raya umum lalu. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...