Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Wednesday, March 17, 2010

Baru ditegur Agung : Pembangkang mula tunjuk samseng

Sekumpulan wakil rakyat keluar Dewan selepas desakan bahas usul keselamatan ditolak 

KUALA LUMPUR: Tidak sampai 24 jam selepas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan Ahli Parlimen menjaga imej dan tingkah laku mereka, sekumpulan wakil rakyat pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat, semalam.



KIT SIANG (tengah), Hadi Awang (kanan) dan Nasharudin Mat Isa bertindak keluar dari Dewan Rakyat, semalam.

Mereka bertindak demikian selepas Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee menolak desakan mereka untuk membahaskan usul keselamatan dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Sebaik sesi soal jawab bermula pada jam 10 pagi selesai kira-kira sejam setengah kemudian, Hishammuddin bangun membacakan usul berbunyi: “Bahawa majlis ini memerintahkan Ketua Polis Negara (KPN) menjaga supaya selama penggal Dewan Rakyat yang ada sekarang, jalan melalui lorong menuju ke dewan ini hendaklah sentiasa terbuka dan boleh dilalui. 

“Dan jangan ada apa-apa halangan menghalang ahli-ahli hendak pergi dan balik dari dewan ini, jangan berlaku apa-apa kacau-bilau di jalan-jalan menuju ke dewan ini, dan supaya jangan ada huru-hara di bangunan dewan ini dan berhampiran dengan bangunan ini. 

“Dan Setiausaha Dewan Rakyat hendaklah menyampaikan perintah ini kepada KPN berkenaan,” katanya. 

Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) kemudian bangun dan berkata, usul itu perlu dibahaskan kerana isu keselamatan adalah penting. 


Bagaimanapun, Ronald menjelaskan usul tanpa bahas dikemukakan Hishammuddin tidak melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. 

Walaupun Ronald memberi penjelasan berhubung perkara itu, Kit Siang yang berdiri hampir 20 minit tetap mahu membahaskannya. 

“Kita mahu usul ini dibahaskan. Saya pernah bahaskan usul ini sebelum ini, kita boleh menyemak kembali hansard,” katanya yang disokong N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai). 

Hishammuddin ketika ditemui di luar Dewan berkata, tindakan Ahli Parlimen pembangkang membuktikan mereka akan melakukan apa saja demi kepentingan politik. 

“Seperti apa yang mereka lakukan dalam Dewan hari ini (semalam) mereka keluar berkaitan dengan usul yang saya bawa supaya keselamatan mereka sendiri terjamin, menunjukkan mereka sanggup lakukan apa saja untuk meraih sesuatu demi kepentingan politik,” katanya. 

Kelmarin, ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-12, Tuanku Mizan melahirkan rasa dukacita terhadap tingkah laku dan tutur kata Ahli Parlimen yang tidak menggambarkan keperibadian mereka sebagai wakil rakyat.  - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...