Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Monday, March 8, 2010

120 Ahli PKR Papar Sertai UMNO Kerana Gagasan 1Malaysia

KOTA KINABALU, 8 Mac (Bernama) -- Seramai 120 anggota Parti Keadilan Rakyat di mukim Limbahau dalam daerah Papar bertindak keluar parti untuk menyertai UMNO kerana tertarik dengan gagasan 1Malaysia.

Jurucakap mereka, Camillus Ginibun, yang juga anggota jawatankuasa PKR Papar, berkata tindakan mereka keluar parti itu bukan kerana didesak atau dijanjikan sesuatu tetapi dengan kesedaran bahawa konsep 1Malaysia memberi perhatian terhadap kebajikan dan pembangunan semua kaum.

"Konsep 1Malaysia membuatkan kami merasa bangga kerana tidak ada kaum, termasuk Kadazan, Dusun dan Murut, yang akan dipinggirkan daripada arus pembangunan. Kami sebelum ini terperdaya dengan janji manis pemimpin PKR di peringkat negeri dan pusat," katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin.

Ginibun berkata keputusan mereka untuk menyertai Umno adalah kerana UMNO merupakan tunjang Barisan Nasional manakala wakil rakyat mereka, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail, walaupun merupakan anggota UMNO, sentiasa mengambil berat terhadap nasib semua kaum tanpa mengira agama dan bangsa.

Bekas Pengarah Logistik PKR kawasan Pantai Manis, Robert Apin, pula berkata penyertaan beramai-ramai ahli PKR dalam Umno bukan kerana mahu mendapatkan kedudukan tetapi untuk mencari "rumah yang teguh untuk berlindung". -- BERNAMA

1 comment:

  1. selamat tinggal anwar, azizah & azmin + saifudin...bye2

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...