Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Saturday, March 13, 2010

Umat Islam hadapi ancaman

KOTA KINABALU 12 Mac - Umat Islam di negara ini kini berdepan dengan ancaman hebat dari dalam dan luar yang cuba menggugat dan memecah belah perpaduan para penganutnya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, percubaan tersebut semakin ketara sejak kebelakangan ini dan untuk itu umat Islam perlu mengukuhkan semula keharmonian.

"Kita berdepan dengan cabaran hebat yang datang dari luar dan dalam, kalau kita tidak pelihara dan prihatin, mereka akan terus berusaha menggugat, merosak dan menjatuhkan kita.

"Apa yang pasti mereka tidak berniat baik, tidak mahu melihat kita maju, mereka mahu buat sesuatu yang boleh menyebabkan kita hadapi kesusahan dan kepayahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Kauthar, Kampung Tanjung Aru Lama di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, umat Islam tidak seharusnya leka dengan nikmat keamanan yang dikecapi di negara ini kerana masih banyak perkara perlu dilakukan untuk memajukan ummah.

Beliau menambah, kemajuan umat Islam Malaysia dalam bidang ekonomi, pendidikan, sosial, politik, kebudayaan dan lain-lain bidang lagi adalah sesuatu yang membanggakan.

Sementara itu, pada majlis itu Muhyiddin mengumumkan peruntukkan serta merta RM5 juta untuk pembinaan semula masjid tersebut yang tertangguh sebelum ini akibat kekurangan dana.

Masjid berkenaan, katanya, apabila siap kelak mampu mempunyai kapasiti 700 jemaah pada satu-satu masa dan pada musim perayaan pula boleh menampung sehingga 3,000 jemaah.

Difahamkan, kos pembinaan semula masjid itu yang mula dibina sejak 1987, adalah kira-kira RM11 juta dan sebanyak RM6 juta telah diberikan oleh kerajaan negeri sebelum ini. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...