Ahli Jawatankuasa Persatuan Penjaja dan Pekedai Bumiputera, Faizal Abd Rahman, berkata tindakan membuat laporan polis itu sebagai membela nasib kira-kira 1,000 peniaga di kawasan itu yang mengalami kerugian serta kerosakan barang niaga selain trauma akibat perhimpunan haram berkenaan.
“Ketika kejadian, orang ramai yang berhimpun tiba-tiba menjadi ganas dan cuba merusuh serta merosakkan harta benda peniaga. Walaupun ketakutan, kami tidak boleh melarikan diri kerana menjaga barangan jualan dan terpaksa menutup premis perniagaan masing-masing.
“Kami bercadang membuat tuntutan RM10 juta atas kejadian itu. Pihak penganjur perhimpunan sepatutnya faham kawasan sekitar Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman menjadi kunjungan orang ramai membeli-belah terutama pada Sabtu awal bulan,” katanya ketika ditemui semalam.
Katanya, tindakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan menawarkan khidmat bantuan guaman secara percuma menjadi laluan kepada peniaga kecil menuntut hak mereka.
“Selepas ini, kami tidak akan berdiam diri dan bercadang mengambil tindakan undang-undang sebagai pengajaran dan amaran bagi mencegah kejadian seperti ini berlaku pada masa depan,” katanya yang menyifatkan perhimpunan haram itu lebih teruk berbanding Reformasi 1998.
Sementara itu, Biro Pengaduan Awam (BPA) akan membuka kaunter khas di Jalan Masjid India, Sabtu ini bagi membolehkan peniaga yang mengalami kerugian mengemukakan aduan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, berkata kaunter itu akan dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan peniaga hanya perlu membawa dokumen atau bukti yang mengesahkan mereka menjalankan perniagaan di kawasan yang terjejas. - Harian Metro.
Comments
Post a Comment