KUALA LUMPUR 27 Ogos - Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) kali keenam dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 18 hingga 20 Mei 2010.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, forum yang bertemakan Bersedia Untuk Kebangkitan Ekonomi itu akan dihadiri oleh pemimpin kerajaan dari negara Islam dan bukan Islam.
"Berdasarkan pengalaman, forum ini sering mendapat sambutan memberangsangkan.
"Penganjuran kali ini juga dijangka menarik perhatian dan minat ramai pihak untuk menyertainya sama ada sebagai pembentang kertas kerja atau peserta," katanya.
Perdana Menteri ditemui selepas melawat dan mengadakan pertemuan tertutup di pejabat WIEF di Kompleks Antarabangsa di sini hari ini.
Hadir sama pada sidang akhbar berkenaan ialah Pengerusi Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam.
Najib menambah, kerajaan akan memberikan sokongan berterusan kepada WIEF kerana ia merupakan forum yang telah memberi impak besar kepada Malaysia.
"Ia juga mewujudkan kerjasama di kalangan pengusaha-pengusaha termasuk bukan Islam.
"Potensi untuk WIEF terus berkembang sangat baik dan kita harus bekerja keras menjadikan WIEF antara forum yang terpenting di dunia," katanya.
Mengenai lawatannya ke pejabat WIEF hari ini, Najib menjelaskan, beliau telah mendapat taklimat oleh Musa, anggota lembaga pemegang amanahnya dan para pegawai yayasan WIEF.
"Lawatan ini bertujuan memberi maklumat kepada saya tentang asas penubuhan WIEF, tujuan dan objektifnya serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan khususnya berkenaan forum yang keenam di Kuala Lumpur tahun depan," katanya.
WIEF ditubuhkan dengan tujuan mengukuhkan ekonomi negara-negara Islam dan umat Islam di seluruh dunia melalui peningkatan perdagangan dan aktiviti bisnes.
Ia bermula sebagai Forum Bisnes Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada Oktober 2003 sempena sidang kemuncak OIC ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Forum WIEF yang pertama berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober 2005, diikuti dengan Pakistan (2006), Kuala Lumpur (2007), Kuwait (2008) dan Jakarta pada Mac 2009. - Utusan
Comments
Post a Comment