Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Monday, August 24, 2009

Ambil tindakan akhbar Cina melampau

PANDANGAN Datuk A. Kadir Jasin dan Awang Selamat baru-baru ini mengenai sikap dan sifat tidak bertanggungjawab akhbar-akhbar berbahasa Cina di negara ini perlu diberi perhatian serius oleh Kementerian Dalam Negeri.

Saya ingin menambah bahawa akhbar-akhbar ini bukan sahaja perlu dipantau seperti saranan Kadir Jasin, malah perlu diambil tindakan tegas sekiranya berlaku penyelewengan etika dan mengadu-dombakan masyarakat Cina dengan kaum lain.

Akhbar-akhbar ini sudah terkenal sebagai pelapor yang tidak tepat dan membuat ulasan berbaur perkauman. Saya mengenali beberapa ahli politik yang enggan atau cuba sedaya upaya mengelak daripada memberi kenyataan kepada media berbahasa Cina ini.

Ada pula ahli politik yang begitu cemas selepas diwawancara oleh akhbar-akhbar ini kerana selalu terjadi lain yang dimaksudkan, lain yang keluar. Malangnya sehingga hari ini pemimpin politik, terutamanya dari UMNO tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang.

Masalah akhbar Cina ini terbahagi kepada dua:

1. Kualiti wartawan: Ramai antara mereka tidak menguasai bahasa Melayu dan tidak fasih berbahasa Inggeris. Sebahagian pula tidak mahir dengan pengetahuan am mengenai undang-undang, perlembagaan dan pentadbiran negara. Ini menyebabkan banyak laporan berita dan ulasan mereka menimbulkan kegusaran dan kemarahan rakyat. Mereka menimbulkan sentimen kebencian kepada pihak berkuasa kerana mereka sendiri tidak memahaminya.

2. Akhbar-akhbar ini hanya menyokong apa sahaja agenda yang menguntungkan kaum Cina. Justeru laporan berat sebelah dan berunsur menghasut kebencian kepada pihak berkuasa, kerajaan, UMNO, Utusan Malaysia dan pemimpin Islam adalah lumrah dan satu kemestian kepada mereka hari ini.

Kita lihat sahaja serangan akhbar-akhbar ini ke atas Utusan Malaysia dan Dr. Ridhuan Tee Abdullah. Selain itu, ramai lagi pemimpin Melayu dijadikan musuh oleh akhbar ini kerana dilihat terlalu mempertahankan kedudukan Islam dan orang Melayu.

Saya fikir kerajaan sedia maklum masalah kebebasan sewenang-wenangnya tanpa kebertanggungjawaban akhbar-akhbar ini. Soalnya sampai bila Kementerian Dalam Negeri ingin berlembut? - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...