Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my
NAJIB bersama Rosmah mengaminkan doa sejurus selamat tiba selepas bercuti di luar negara di Kompleks Bunga Raya KLIA, Sepang, semalam. |
Umat Islam digesa jadikan Ramadan bulan tambah amalan bersedekah
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak mahu umat Islam di negara ini menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk bersedekah dan mempamerkan semangat Islam sebenar kepada rakan bukan Islam.
Perdana Menteri berkata, Ramadan adalah bulan untuk bersedekah dan mahu mereka yang berkemampuan supaya melebihkan sumbangan tahun ini.
"Sewajarnya kita memenuhi tanggungjawab ke atas limpahan rezeki diterima dengan membantu mereka yang memerlukan di kalangan kita.
Perdana Menteri berkata, beliau sering memikirkan mengenai kesan hasil daripada tindakan murah hati dan perhatian yang diberikan kepada mereka yang kurang bernasib baik.
"Fikirkan manfaatnya jika kita berusaha untuk mengembangkan sifat dermawan itu di sepanjang tahun. Ramadan ialah waktu untuk meningkatkan kerohanian dan persaudaraan yang hebat, begitu juga dengan Malaysia yang mampu menjadi sebuah negara yang bebas daripada kemiskinan jika kita komited untuk melakukannya," katanya.
"Kita harus sedar bahawa ini adalah peluang memperlihatkan semangat Islam yang sebenar kepada rakan bukan Muslim kita.
"Setiap tahun saya akan memerhatikan bagaimana rakan Cina dan India kita menikmati waktu berbuka puasa bersama-sama kita.
"Sama ada bersesak-sesak di gerai makanan, di rumah atau makan malam di satu bufet, mereka yang bukan Islam di seluruh Malaysia berkongsi keramahan rakan Muslim mereka," katanya.
"Ini adalah contoh yang baik bagaimana menghargai dan meraikan kekayaan kepelbagaian etnik dan kepercayaan agama di Malaysia dan perpaduan kita sebagai satu bangsa," katanya.
Sementara itu, Najib pulang ke tanah air semalam selepas bercuti di luar negara selama lapan hari.
Beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta dua anak mereka tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9.50 pagi.- Berita Harian.
Comments
Post a Comment