KUALA LUMPUR: Kesilapan Barisan Nasional (BN) memilih calon adalah antara punca kegagalan parti itu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada pilihan raya kecil DUN itu kelmarin.
Tokoh akademik, Datuk Khoo Kay Kim, berkata jika BN menampilkan calon yang benar-benar bersih, ada kemungkinan ia menang kerana sejak akhir-akhir ini Pakatan Rakyat dilihat gagal melaksanakan tanggungjawab di negeri yang diperintahnya.
Beliau berkata, walaupun kelemahan BN menyumbang lebih 70 peratus kepada kekalahan itu, kekuatan pembangkang tidak konkrit kerana kekurangan sokongan kepada BN timbul akibat tidak puas hati rakyat terhadap prestasi pemerintah.
“Calon sudah dipersoalkan dari awal. Kenapa BN tetap buat kesilapan terutama pada masa sekarang yang amat mementingkan integriti,” katanya.
Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Ahmad Nizamuddin Sulaiman, berkata BN perlu mewujudkan badan khas untuk menapis dan menyaring calon pilihan raya, khususnya pilihan raya kecil.
Beliau mendakwa keputusan di Permatang Pasir tidak memeranjatkan kerana banyak faktor mempengaruhi kemenangan Pas sehingga membolehkan parti itu mengekalkan kerusi dengan majoriti 4,551 undi.
Katanya, isu calon menjadi faktor utama sehingga membolehkan Pakatan Rakyat mempunyai banyak ‘peluru’ untuk kepentingan mereka.
“BN juga perlu belajar mendengar kehendak dan suara akar umbi kerana calon yang ditolak pada peringkat bawah sering kali tidak menguntungkan parti. Isu calon di Permatang Pasir hampir sama dengan calon BN pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang didakwa sombong dan tidak mesra pengundi,” katanya.
Selain itu, katanya, pengundi Permatang Pasir terdiri daripada mereka yang taksub atau terlalu menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai idola sehingga menenggelamkan kebaikan calon lawan.
Katanya, pembangkang juga bijak mengeksploitasi isu nasional untuk dijadikan bahan kempen apabila menyedari pengundi tidak lagi berminat dengan isu pembangunan yang bakal dibawa BN kerana kawasan berkenaan bukan kawasan mundur.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pula menyifatkan strategi BN tidak menjadi dan gagal meraih sokongan pengundi.
“Walaupun jentera BN bekerja kuat, strateginya tidak kena. Pas awal-awal lagi menguasai masjid dan madrasah bagi mengikat pengundi sehingga BN gagal mempengaruhi mereka.
“Penerangan yang diberikan BN juga tidak sampai kepada sasaran. Malah, BN tidak mempunyai penceramah yang menjadi idola kepada orang ramai,” katanya. - Berita Harian
Comments
Post a Comment