KUALA LUMPUR 30 Ogos - Rakyat berbilang kaum di negara ini perlu kembali bersepakat dan meletakkan keyakinan terhadap Rukun Negara yang menjadi asas kepada pembentukan negara merdeka dan harmoni, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat harus sedar bahawa tempoh 50 tahun akan datang membawa bersama cabaran lebih besar yang menuntut semua kaum bersepakat dan saling mempercayai untuk mengatasi cabaran-cabaran tersebut.
Beliau menegaskan, kesemua halangan itu tidak akan menjadi sukar sekiranya rakyat berusaha keras menjayakan gagasan 1 Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kesemua cabaran dan rintangan itu dapat diatasi dan negara akan dapat mengekalkan keharmoniannya jika agenda pembangunan negara bangsa selepas 52 tahun merdeka menerusi gagasan 1Malaysia dijayakan.
"Tempoh 52 tahun merdeka sepatutnya menjadikan kita matang dan sentiasa berhati-hati mengelak kerencaman penduduk pelbagai bangsa dan agama daripada terusik dan terjejas sehingga mengeruhkan keadaan," katanya dalam perutusan sempena ulang tahun kemerdekaan ke-52 di sini hari ini.
Muhyiddin dalam pada itu turut mengingatkan rakyat agar berwaspada dengan anasir tertentu yang mahu melihat keharmonian negara tergugat.
Beliau berkata, pihak berkenaan tahu kunci utama untuk memastikan Malaysia tergelincir dari landasan kemerdekaan adalah kerapuhan hubungan kaum di negara ini.
"Sebab itu isu-isu tersebut disentuh dan diapi-apikan biar pun hakikatnya rakyat pelbagai kaum negara ini sememangnya hidup aman damai dan saling menghormati.
"Lebih serius lagi, persetujuan yang terpateri dalam Perlembagaan Persekutuan dipertikaikan sedangkan dalam keadaan negara mencapai usia 52 tahun merdeka, perkara tersebut sepatutnya telah difahami dan diterima tanpa syak wasangka," ujarnya. - Utusan
Comments
Post a Comment