|
|
KUALA LUMPUR 29 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melawat Restoran Rakyat 1Malaysia iaitu sebuah restoran berteraskan kepada kebajikan rakyat di Medan Tuanku di sini.
Kedatangan Timbalan Perdana Menteri disambut Yang Dipertua Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (Ukhwah), Datuk Rahim Baba serta pemimpin-pemimpin kanan koperasi berkenaan.
Terdahulu Muhyiddin menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan di bangunan berhadapan dengan restoran tersebut.
Rahim ketika ditanya reaksinya berkata, Timbalan Perdana Menteri terkejut apabila mendapati harga makanan yang dijual di restoran milik koperasi itu murah.
''Timbalan Perdana Menteri telah berpesan kepada kami supaya meneruskan usaha ini kerana sukar untuk mencari sebuah restoran di Kuala Lumpur yang menawarkan harga makanan yang amat murah.
''Kami hargai nasihat yang diberikan dan inilah sebenarnya tujuan restoran ini dibuka. Keuntungan bukan matlamat utama sebaliknya memberi bantuan kepada masyarakat adalah lebih utama,'' katanya.
Restoran milik koperasi Ukhwah mula menjadi sebutan pengunjung Medan Tuanku sebaik sahaja dibuka awal Ogos lalu apabila ia menawarkan juadah pagi serendah RM1 iaitu segelas teh tarik dan sekeping roti canai.
Setiap Jumaat pula, pelanggan hanya perlu mengira sendiri apa yang dimakan dan membayar dengan keikhlasan kerana setiap sen dan ringgit pelanggan akan disumbangkan ke dalam Tabung Masyarakat Prihatin yang disediakan di kaunter bayaran.
Sementara itu sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, pihak koperasi telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,918 untuk anak-anak yatim daerah Parit Sulong, Johor. - Utusan
Comments
Post a Comment