Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Sunday, August 30, 2009

Selesai masalah dengan matang

KUALA LUMPUR 29 Ogos - MCA perlu menyelesaikan masalah dalaman mereka dengan matang dan secepat mungkin supaya tidak menjejaskan reputasi Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata, kemelut yang melanda MCA akhir-akhir ini adalah masalah dalaman parti itu dan parti lain tidak sesuai untuk campur tangan.

"Orang luar memang tidak sesuai untuk menolong menyelesaikan masalah MCA kerana itu umpama hal peribadi sesebuah parti," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Rabu lalu, Majlis Presiden MCA menerima cadangan Jawatankuasa Disiplin Parti untuk memecat keahlian bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkuat kuasa serta merta.

Ko Youn berkata, pihaknya berharap MCA akan menggunakan cara demokratik untuk menyelesaikan konflik yang mereka hadapi sekarang.

Menurutnya, konflik berkenaan akan mendapat perhatian pelbagai pihak kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan kedudukan MCA termasuk reputasi BN.

"MCA adalah sebahagian daripada parti komponen BN, mereka perlu menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan kedudukan BN di negara ini," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam berkata, pihaknya percaya MCA mampu menyelesaikan masalah mereka dengan matang dan bertanggungjawab.

Menurut beliau, MCA merupakan parti yang berpengalaman dan berkaliber, justeru parti itu diyakini dapat menyelesaikan masalah mereka dengan secepat mungkin.

"Saya yakin MCA boleh menyelesaikan masalah mereka dengan cara yang baik dan dapat memuaskan hati ahli-ahli partinya," katanya. -Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...