Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Saturday, August 29, 2009

Puasa berupaya jadikan umat Islam lebih berperkerti mulia: Najib

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata ibadat puasa berupaya menjadikan umat Islam lebih berpekerti mulia agar terus dihormati penganut agama lain.

Perdana Menteri berkata, bulan Ramadan bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi satu kaedah tarbiyah yang mampu mendidik seorang Muslim dari segi rohani, jasmani dan emosi.

"Menerusi ibadat puasa, umat Islam akan lebih tinggi kualiti peribadinya.

"Hanya yang mempunyai kualiti peribadi yang disukai Allah seperti amanah, tawaduk, pemurah, cintai perpaduan, sifat yang terpuji untuk peribadi seorang Muslim," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada warga emas, ibu tunggal dan golongan miskin di Masjid Kampung Sungai Miang, dekat sini, hari ini.

Terdahulu beliau menunaikan solat Isyak dan tarawih di masjid berkenaan.

Najib berkata, umat Islam juga perlu menjadikan bulan puasa sebagai bulan untuk lebih membantu golongan yang memerlukan.

"Bagi kerajaan, bulan Ramadan memberi kesempatan untuk kita menjalankan program yang menekankan soal "infak" (memberi) - pemberian segala-gala pemberian," katanya.

Seramai 94 golongan warga emas, ibu tunggal dan golongan miskin menerima bantuan pada majlis berkenaan.

Sebelum itu, Najib berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib di Masjid Kampung Merchong, dekat sini. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...