KUALA LUMPUR 30 Ogos - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengingatkan bahawa masyarakat yang memilih semangat perkauman yang fanatik dan menyesatkan bakal berhadapan dengan kehancuran.
Beliau berkata, sejarah telah membuktikan semangat perkauman yang sempit akan hanya membawa bencana dan kehinaan kekal kepada satu-satu masyarakat.
"Janganlah di atas kepentingan sempit peribadi ataupun rasukan semangat fanatik perkauman yang membuak-buak kita gagal melihat pentingnya perpaduan di kalangan warganegara Malaysia yang tercinta ini.
"Dalam bulan Ramadan yang penuh berkat ini dan di ambang kemerdekaan marilah kita menanam semangat menyayangi dan menjaga dengan rapi kejayaan dan perpaduan yang telah kita kecapi selama ini,'' katanya.
Beliau yang juga penaung Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia (YHKM) berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama 300 orang anak-anak yatim anjuran YHKM, Hotel Nikko dan majalah Eh! di Hotel Nikko di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Lembaga Penasihat YHKM, Tan Sri Zaleha Ismail; Pengerusi Kumpulan Blu Inc. Datuk Ibrahim Mohd. Noor dan isteri, Datin Nina Juren dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Blue Inc., Datin Azliza Ahmad Tajuddin.
Rosmah secara peribadi merasakan pelbagai sambutan dan festival di Malaysia sama ada bercorak keagamaan ataupun kebudayaan hendaklah dimanfaatkan secara kreatif ke arah menyuburkan perpaduan rakyat.
"Biarlah kita mencari satu platform persamaan berasaskan nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Nilai ini boleh dikongsi bersama di setiap perayaan dan festival yang dirayakan sebagai usaha merobohkan tembok perkauman yang masih menghalang kewujudan konsep 1Malaysia yang ikhlas dan tulen,'' katanya.
Beliau turut menyarankan agar setiap komuniti di Malaysia selain dari menyambut perayaan dan festival masing-masing menjadikannya sebagai platform untuk melaksanakan aktiviti kebajikan.
"Usaha ini akan dapat dimanfaatkan oleh setiap rakyat Malaysia yang tidak bernasib baik tanpa mengira bangsa dan agama.
"Setiap sambutan perayaan sama ada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Hari Gawai, Hari Vasakhi ataupun perayaan lain perlu mengambil kira aspek kebajikan,'' katanya.
Tambah beliau, dengan cara itu golongan miskin, ibu tunggal, pertubuhan kebajikan dan anak-anak yatim dari segenap lapisan masyarakat di Malaysia akan mengikis sikap prejudis dan fanatik perkauman dan menggantikannya dengan semangat perpaduan 1Malaysia.
Katanya, majlis berbuka puasa adalah contoh terbaik bagi membuktikan walaupun ia merupakan satu ibadah agama Islam namun ia turut disertai oleh mereka dari kaum dan agama yang lain.
"Semangat kebajikan bantu- membantu anak-anak yatim dan anak-anak miskin merasai kemeriahan Ramadan adalah selaras dengan seruan Rasulullah SAW yang menganggap Ramadan sebagai bulan prihatin,'' katanya.
"Tradisi ini diharap dapat membimbing generasi kanak-kanak Malaysia tentang nilai-nilai perpaduan yang merentasi bangsa dan agama,'' katanya. - Utusan
Comments
Post a Comment