TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak dapat menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 yang buat julung kali akan diadakan di Dataran Parlimen, esok.
Tanpa menjelaskan sebab ketidakhadirannya, bekas Perdana Menteri yang menulis demikian dalam blognya, tetap mendoakan Malaysia akan terus selamat.
"Sebagai rakyat biasa, saya akan tumpukan perhatian terhadap perkembangan politik, ekonomi dan sosial dalam negara dan akan cuba menyumbang setakat yang mampu. Saya yakin rakyat akan turut melakukan perkara sama kerana rasa sayang kepada negara sekali gus ingin melihat Malaysia terus maju," katanya.
Dr Mahathir berkata, sambutan kemerdekaan kali ini juga jelas kurang meriah berbanding sebelumnya di Dataran Merdeka atau Putrajaya berikutan wabak selesema babi Influenza A (H1N1), tetapi itu semua tidak sepatutnya menghalang rakyat daripada melahirkan rasa bangga dan patriotisme terhadap negara. - Berita Harian
Comments
Post a Comment