PUTRAJAYA 22 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu umat Islam negara ini memperlihatkan semangat Islam sebenar kepada rakan- rakan bukan Muslim sempena bulan Ramadan ini.
Perdana Menteri pada masa yang sama menggalakkan rakyat yang berkemampuan supaya melebihkan bersedekah kepada mereka yang memerlukan pada bulan Ramadan yang merupakan bulan untuk bersedekah.
"Sewajarnya kita memenuhi tanggungjawab ke atas limpahan rezeki yang diterima dengan membantu mereka yang memerlukan di kalangan kita.
"Saya sering memikirkan keberkesanan hasil tindakan bermurah hati dan perhatian yang diberikan ke atas mereka yang kurang bernasib baik. Fikirkan manfaatnya jika kita berusaha mengembangkan sifat dermawan sepanjang tahun," katanya dalam laman web www.1malaysia.com.my.
Najib berkata, beliau menyanjungi kemesraan dan keakraban yang dikongsi semua rakyat Malaysia pada bulan Ramadan di mana rakan-rakan Cina dan India turut bersama menikmati waktu berbuka puasa.
"Sama ada bersesak-sesak di gerai-gerai makanan, di rumah atau makan malam di salah satu bufet yang banyak terdapat di mana-mana sahaja, mereka yang bukan Islam di seluruh Malaysia berkongsi keramahan rakan Muslim mereka.
"Saya benar-benar tersentuh dengan sikap mereka yang hormat menanti waktu azan dilaungkan dan solat dilakukan sebelum mula menjamu selera.
"Ini adalah contoh yang baik bagaimana menghargai dan meraikan kekayaan kepelbagaian etnik dan kepercayaan agama di Malaysia," katanya.
Najib berkata, pada Ramadan kali ini beliau merancang berbuka puasa bersama-sama pelbagai lapisan masyarakat Islam di seluruh negara.
"Setiap tahun, saya dan isteri sentiasa menunggu untuk menerima jemputan berbuka puasa yang banyak dianjurkan di seluruh negara.
"Pada hari pertama Ramadan, saya akan berbuka puasa dan bertarawih bersama keluarga, tetapi hari-hari berikutnya saya merancang berbuka bersama-sama pelbagai lapisan masyarakat Islam di seluruh negara," katanya. - Utusan
Comments
Post a Comment