KUALA LUMPUR 9 Ogos - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sesebuah gabungan kerjasama parti politik untuk menjadi kerajaan haruslah mempunyai pendirian bersama dari segi prinsip dan ideologi.
Menurutnya, jika tidak maka berlakulah seperti mana di Selangor sekarang sehingga timbul tanda tanya tentang masa depan kerajaan pakatan di negeri itu berikutan kewujudan perbezaan yang terlalu asas terutama antara Pas dan DAP.
''Kalau kita hendak tadbir sebuah negeri apatah lagi di peringkat nasional, kita harus punya pendirian bersama dari segi prinsip dan ideologi walaupun ada sedikit perbezaan pendapat tetapi dari segi fundamentalnya, ia mesti boleh diterima.
''Nampaknya keadaan ini tidak wujud di Selangor. jadi sama ada keadaan ini boleh berterusan dalam bentuk gabungan di kalangan parti pembangkang seperti mana sekarang ini, kita tunggu dan lihat,'' katanya.
Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ampang dekat sini hari ini.
Menurut Perdana Menteri, beliau percaya rakyat sedang menilai apa yang sedang berlaku di Selangor kerana kedua-dua parti dalam kerajaan negeri telah mula menunjukkan pendirian mereka yang sebenar secara terbuka.
''Jadi jika mereka tak buat sesuatu walhal tuntutan mereka tak dilayani, bererti maruah politik mereka akan dipersoalkan oleh rakyat.
''Dan sebaliknya jika mereka kekal dalam kerajaan, boleh ditafsir bahawa mereka mementingkan kedudukan (berbanding) dari segi prinsip perjuangan dan ideologi parti mereka,'' jelasnya.
Sementara itu, ditanya jangkaannya sampai bila kerajaan pakatan pembangkang di Selangor mampu bertahan, Najib berkata, beliau tidak mahu meletakkan satu tempoh masa tertentu.
Katanya, namun apa yang hendak ditekankan di sini adalah bagaimana isu berhubung penjualan arak telah menyerlahkan perbezaan asas antara parti yang membentuk kerajaan negeri.
''Isu ini simptom kepada percanggahan fundamental yang besar dan saya fikir banyak persoalan timbul sama ada pakatan ini boleh kekal atau tidak.
''Kalau tak timbul isu arak ia akan timbul isu lain. Jadi selagi mereka tak dapat selesaikan soal ini maka selama itulah akan banyak lagi isu yang akan timbul,'' katanya. - Utusan Malaysia.
Comments
Post a Comment