KUALA LUMPUR 30 Okt. - Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali menegaskan beliau sedia dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin parti itu untuk disiasat serta menerima apa sahaja hukuman yang diputuskan oleh parti sekiranya didapati bersalah. Bagaimanapun, menurut beliau, Jawatankuasa Disiplin tersebut mesti melakukan siasatan dengan adil serta telus dan bukannya bersandarkan emosi atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Beliau mengharapkan siasatan itu dilakukan segera secara menyeluruh demi keadilan. ''Percepatkan siasatan kalau saya yang menjadi punca 'kecacatan' parti. Siasat dan kajilah saya. Saya sangat mengalu-alukan siasatan itu dibuat. ''Tetapi, dengan syarat sila kemukakan bukti yang kukuh. Cara siasatan itu dibuat mesti dengan cara yang meyakinkan kita. Bukan dilakukan dengan emosi atau dipengaruhi mana-mana pihak. Mesti dibuat dengan telus. Saya akan terima,'' katanya. Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau Loji Rawatan Air, B...