Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Thursday, October 15, 2009

Kepuasan rakyat keutamaan saya'

PUTRAJAYA 14 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha memenuhi kepuasan rakyat menjadi keutamaan beliau dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

"Setiap pemimpin ada stail masing-masing. Saya tidak tahulah apa stail yang orang lihat yang ada pada saya, tetapi saya sudah gariskan bahawa apa yang saya buat adalah untuk memenuhi kepuasan rakyat.

"Ini yang saya utamakan dalam gerak kerja yang saya akan lakukan," kata Najib yang juga Presiden UMNO semasa wawancara eksklusif dengan Bernama di pejabatnya sempena Perhimpunan Agung UMNO.

Najib yang bergiat aktif dalam politik selepas kematian bapanya, Allahyarham Tun Razak Hussein, Perdana Menteri Kedua turut ditanya sekiranya beliau melihat ada persamaan antara cabaran politik semasa dengan apa yang dihadapi arwah bapanya yang mengharungi cabaran membangunkan negara selepas pilihan raya 1969 yang dicemari dengan rusuhan kaum pada 13 Mei.

"Ia memang satu krisis, malah hanya ada dua krisis utama dalam sejarah negara, iaitu pada tahun 1969 dan 2008," kata beliau yang merujuk kepada kemerosotan sokongan ketara yang dialami oleh Barisan Nasional pada pilihan raya umum tahun lepas.

Beliau berkata semua pihak perlu memberi respons terhadap kekalutan itu, dengan merujuk kepada respons oleh arwah bapanya dalam menghadapi cabaran mendatang, yang hasilnya negara menjadi pulih dan demokrasi berparlimen dikembalikan.

"Tun Razak memulakan Barisan Nasional dan menghadapi pelbagai cabaran yang dibawa oleh peristiwa 13 Mei; diadakan parti durian dan macam-macam lagi; semua ini bertujuan membawa semua kaum untuk bekerjasama, malah beliau juga menjadi orang penting dalam membawa parti pembangkang, Gerakan dan PPP menyertai BN, beliau yang melaksanakan rekayasa politik.

Ditanya apa yang beliau mahu anggota UMNO buat untuk memperkukuhkan perpaduan kaum, Presiden parti itu berkata beliau ingin melihat mereka bermula dengan perpaduan dalam parti terlebih dahulu dan kemudian dalam konteks BN.

"Selepas itu, UMNO juga mesti menjadi pelopor kepada usaha untuk membuat program outreach dengan mereka yang tidak menjadi anggota mana-mana parti komponen Barisan Nasional.

"Sebab itulah, saya mengajukan sikap keterbukaan dalam setiap pendekatan BN," kata beliau.

Najib sendiri mengamal apa yang beliau sarankan.

Antaranya, beliau sering melakukan "tinjauan mesra" untuk meninjau masalah rakyat, memberi tumpuan saksama kepada rakyat Sabah dan Sarawak dan menemui pelbagai pertubuhan yang mewakil berlainan kaum.

Yang terbaru Najib menunjukkan kesediaannya bekerjasama dengan mana-mana pihak di luar BN yang menyokong Barisan Nasional apabila beliau melancarkan Parti Makkal Sakti baru-baru ini. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...