NAJIB bersama Muhyiddin dan pemimpin Umno melaungkan Hidup Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2009, semalam. |
Presiden beri jaminan kukuh
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan kerajaan tidak akan menghentikan bantuan kepada orang Melayu kerana kebanyakan mereka masih jauh ketinggalan berbanding bangsa lain.
Perdana Menteri berkata, walaupun ada golongan yang lahir hasil Dasar Ekonomi Baru (DEB) bangga mengatakan mereka mampu berdiri tanpa bantuan kerajaan, ini tidak bermakna kerajaan perlu menghentikan bantuan kepada kumpulan yang memerlukan.
"Kita melihat kumpulan yang berjaya ini mendabik dada mengatakan mereka tidak perlu lagi topang dan sangga, boleh berdiri atas kaki sendiri tanpa bergantung kepada pertolongan kerajaan. Nampaknya, golongan ini lupa kepada hakikat, walaupun mereka berupaya untuk membuang topang yang menyangga mereka selama ini, bagaimana pula dengan orang Melayu lain yang masih memerlukan bantuan.
"Adakah adil jika topang ini dibuang hanya kerana ada orang yang sudah mendapat bantuan, tidak lagi bergantung kepadanya, sedangkan orang Melayu keseluruhannya masih ketinggalan dan memerlukan bantuan dan perkara itu menjadi perhitungan utama Umno," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2009 di sini, semalam.
Perdana Menteri berkata, ketika DEB digubal, dasar itu menyasarkan peningkatan pemilikan ekuiti Melayu dan Bumiputera daripada 2.4 peratus kepada 30 peratus dalam tempoh 20 tahun, tetapi sehingga dasar itu tamat, ia belum mencapai matlamat apabila ekuiti orang Melayu dan Bumiputera hanya kira-kira 19 peratus.
"Jadi, matlamat ini diteruskan di bawah Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Pembangunan Wawasan dan kini Misi Nasional menggunakan pendekatan yang tidak jauh berbeza.
Najib berkata, DEB juga berjaya mewujudkan golongan Melayu profesional kelas menengah dan besar yang tidak pernah wujud sebelum dasar berkenaan dilaksanakan pada 1971.
Sementara itu, Najib berkata, tahun ini saja, kerajaan diterajui Umno memperuntukkan RM22 bilion untuk membiayai pelbagai subsidi dan bantuan bagi meringankan beban rakyat. - Berita Harian
Comments
Post a Comment