MASYARAKAT berbilang kaum negara iniharus memahami budaya kaum-kaum supaya rasa sensitiviti dapat disemai bagi mengelakkan sebarang ketegangan kaum.
Malah kebanyakan rakyat Malaysia mungkin tidak sedar bahawa selain aspek perpaduan, kemajmukan masyarakat kita juga mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.
Sebab itu Perdana Menteri yang kini berada di Paris, Perancis mahu kemajmukan ini dipertahankan dan diperkukuhkan supaya kita dapat memaparkannya menerusi konsep 1Malaysia yang diamalkan turut bersandarkan nilai yang tinggi.
Kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak itu ada kebenarannya. Sejak lebih 52 tahun ciri-ciri kepelbagaian kaum, adat resam dan agama menjadi tarikan masyarakat dunia kepada Malaysia.
Keunikan dan perbezaan yang ketara dalam masyarakat Malaysia itu tidak pula menimbulkan persengketaan atau perang antara kaum seperti dialami sesetengah negara lain.
Untungnya rakyat Malaysia adalah kerana penduduk pribumi negara ini iaitu Melayu mengamalkan dasar berbaik-baik dengan kaum lain dan menerima mereka hidup dalam suasana aman damai.
Demi mencapai kemerdekaan, orang Melayu sanggup menerima kaum pekerja dari Cina dan India yang telah memenuhi syarat sebagai warganegara Tanah Melayu dan kemudian Malaysia.
Lebih setengah abad kita hidup bersatu padu, tolong menolong antara satu sama lain. Tidak ada kaum di negara lain yang mendapat keistimewaan seperti di Malaysia.
Selama ini kita tidak mengeksploitasi kepelbagaian elemen peradaban yang berpotensi untuk memberi ruang kepada Malaysia memainkan peranan sebagai pintu masuk ekonomi dunia ke Asia.
Kita patut mengambil kesempatan yang ada daripada segi strategik kerana kita berada di tengah-tengah peradaban China, India dan Asia Barat. Kita patut transformasikan amalan strategik semulajadi ini.
Dengan sifat majmuk yang ada di kalangan orang Melayu, Cina dan India, maka ia dapat memudahkan urusan hubungan dua hala negara kita dengan China, India, dunia Melayu (Nusantara) dan Asia Barat.
Memang ada potensi ekonomi jika kita guna pemikiran strategik Perdana Menteri. Jika China yang didiami berbilion penduduk mengambil keputusan membeli minyak sawit Malaysia, maka keuntungannya tentu akan dikecapi oleh para peneroka Felda dan pekebun kecil.
Dengan kemajmukan kaum, kita boleh mendapatkan bisnes untuk rakyat negara ini. Namun ia bergantung pada sejauh mana kebijakan kita mentranformasikan kemajmukan kaum negara ini.
Ia akan berhasil jika kita dapat memahami secara mendalam konsep 1Malaysia. Ia boleh menjadi mesej yang berkuasa seperti yang dihasrat oleh Najib iaitu 1 impian, 1 negara dan 1 bangsa.
Kita juga harus mengubah elemen kemajmukan kaum sebagai satu kekuatan dan bukan bebanan kepada rakyat.
Justeru adalah penting pihak-pihak yang berkenaan menterjemahkan dan menggembleng soal kemajmukan ini dalam membentuk negara bangsa yang lebih tinggi. - Utusan
Comments
Post a Comment