Katanya, berdasarkan pemerhatian beliau, Najib juga mempunyai perancangan untuk mendekatkan UMNO dengan rakyat di samping berusaha memulihkan semula sokongan untuk parti itu.
"Tekanan (Najib) mengenai mendekatkan diri dengan rakyat itu penting kerana kita dapati ramai pemimpin UMNO mengasingkan diri daripada rakyat dan berharap kepada kuasa untuk mendapat sokongan walaupun ia jelas tidak akan berjaya.
"Memang masa yang ada amat singkat tetapi saya rasa ia dapat dilakukan sekiranya pemimpin turun padang dan mengenal pasti punca kenapa rakyat tidak gembira (dengan UMNO)," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2009 di sini hari.
Dr. Mahathir pada mulanya tidak dijadualkan mengadakan sidang akhbar namun terpaksa berbuat demikian kerana suasana bertukar kecoh dengan adegan tolak menolak antara lebih 50 petugas media dengan pihak keselamatan yang mengiringi beliau untuk meninggalkan majlis.
Sementara itu, Dr. Mahathir turut memberi peringatan kepada Najib bahawa membuat ucapan yang menarik dan menjanjikan perubahan adalah sesuatu yang mudah untuk dilakukan berbanding melaksanakannya.
"Selepas ini saya pasti rakyat akan memerhatikan sama ada ia dipenuhi atau tidak, bukan hanya di kalangan ahli UMNO bahkan seluruh negara akan memerhatikan. Jadi kerajaan dan parti mesti mengotakannya," tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyifatkan pindaan perlembagaan UMNO akan menjadikan parti itu lebih demokratik tetapi tidak pasti sama ada ia akan menghapuskan amalan politik wang.
Katanya, walaupun pelbagai perubahan telah dibuat, pengamal politik wang akan tetap mencari jalan untuk membeli undi perwakilan.
Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa parti komponen Barisan Nasional (BN) akan mengikut jejak langkah UMNO yang meminda perlembagaan bagi menjadikan mereka lebih demokratik.
Ditanya mengenai ucapan Najib yang memuji kehadirannya untuk sama-sama meneruskan perjuangan yang belum selesai, Dr. Mahathir berkata:
"Perjuangan politik ini tak pernah selesai, masa saya pun tak selesai, masa orang lain pun tak selesailah.
"Ini merupakan satu perjuangan yang berterusan, cabaran baru, keperluan baru dan suasana yang baru semuanya perlu diambil kira," katanya. - Utusan
Comments
Post a Comment