KUALA LUMPUR 14 Okt. - Penampilan UMNO yang dilihat sebagai sebuah organisasi elit dan mewah adalah antara faktor yang dikatakan menjadi penyebab penolakan generasi muda untuk menyertai parti terbesar orang Melayu itu.
Wakil Pergerakan Pemuda Wilayah Persekutuan, Mahadhir Sulaiman berkata, selain itu kewujudan pemimpin yang sukar didekati turut mempengaruhi golongan berkenaan untuk terus meminggirkan UMNO.
Menurutnya, pada mereka barisan pemimpin sepatutnya mempunyai perwatakan yang merendah diri bagi membolehkan golongan itu mudah didekati oleh rakyat jelata.
''Golongan muda atau pengundi muda juga melihat politik yang diamalkan tidak ada ketelusan. Hujah ini didukung dengan fakta yang disebarkan menerusi laman web propembangkang sehingga meracuni pemikiran mereka.
''Malah kegagalan Pemuda UMNO untuk memberi penerangan secara bersistematik dan efektif menyebabkan golongan ini terus meminggirkan dan membuat andaian sendiri terhadap isu semasa di dalam dan di luar negara,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda pada Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Mahadhir berkata, persepsi wujudnya krisis kepimpinan di dalam parti juga adalah antara faktor generasi muda enggan berdamping dengan UMNO.
''Bagi mereka, melibatkan diri dalam kancah politik akan menjebakkan mereka pada konflik sedangkan mereka lebih cenderung kepada kehidupan yang kondusif dan bebas,'' katanya.
Sehubungan itu Mahadhir amat berharap segala pandangan yang dikemukakan oleh generasi muda itu diberikan perhatian sepenuhnya dan antara penyelesaiannya ialah setiap pemimpin di semua peringkat ikhlas dan tawaduk ketika berurusan dengan rakyat.
''Mesej ini juga yang diberi tumpuan sepenuhnya oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sesi Taklimat Presiden petang semalam,'' katanya.
Sementara itu beliau mencadangkan supaya UMNO mewujudkan satu portal mirip Facebook sebagai platform untuk membina satu pangkalan data yang mampu menarik generasi muda untuk mendekati UMNO
''Saya percaya melalui kaedah ini ia akan membuka lebih banyak ruang kepada generasi muda untuk menyertai komuniti tersebut kerana portal yang begitu interaktif,'' katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau mahu kepimpinan tertinggi UMNO dan BN memberi lebih banyak peluang kepada generasi muda di Wilayah Persekutuan sebagai calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang. - Utusan
Comments
Post a Comment