PORT DICKSON, 9 Okt – Parti pembangkang yang akan menjadi seteru Barisan Nasional (BN) dalam cubaan merampas Bagan Pinang nampaknya semakin terdesak dalam usaha mereka untuk mendapatkan undi dari masyarakat tempatan.
Sememangnya, pendedahan demi pendedahan yang dapat dibuat oleh BN secara tidak langsung menjelaskan taktik-taktik pembangkang yang bukan hanya mempropagandakan isu, memanipulasi fakta lantas turut sama melontarkan tuduhan palsu bukan hanya kepada calon malahan pemimpin atasan dan kerajaan pusat juga.
Buktinya:
• Undi Pos - PAS meragui undi pos terbabit atas dakwaan kononnya undi pos seperti askar dan polis tidak diberikan kebebasan dalam memilih dan melaksanakan tanggungjawabnya. Mereka tidak berpuas hati dengan penyeliaan undi pos di kawasan terbabit kerana kononnya telah dimanipulasi oleh BN. Sedangkan sebenarnya, seringkali berlaku dalam pilihan raya yang mana umumnya undi pos tidak memihak kepada parti pembangkang sebaliknya memberikan sokongan kepada calon BN. Lantas kerana itulah ia dipropagandakan untuk tujuan mengelirukan masyarakat sedangkan dalam proses pengundian tersebut, wakil calon dibenarkan masuk bagi memantau proses pembuangan undi.
• Tuduh SPR tidak telus – Propaganda yang dicanang dalam setiap pilihan raya. Berhubung hal ini, Pengerusi SPR Tan Sri Aziz menasihatkan pembangkang untuk bersikap terbuka dan menerima hakikat jika keputusan tidak memihak kepada mereka lantas jangan salahkan sistem kerana SPR telah laksanakan yang terbaik. Malahan pihak pembangkang hanya pandai mengkritik tanpa tahu memberikan sebarang cadangan.
• Cadangan mohon injuksi tangguh pilihan raya – Cadangan yang tidak wajar dikemukakan sedangkan tarikh pilihan raya semakin dekat dengan segala persediaan telah dibuat hanya kerana tuduhan yang belum tentu betulnya daripada PAS berkaitan nama-nama pengundi. Apatah lagi, pakatan pembangkang telah menghebohkan khabar angin kononnya pilihan raya tersebut ditangguhkan berikutan PAS peroleh injuksi mahkamah. Ini adalah antara cubaan PAS bagi memastikan para pengundi tidak keluar pada masa tersebut.
• Dakwaan pertindihan nama pengundi – Dalam tempoh berkempen yang memasuki fasa terakhir secara tiba-tiba PAS membuat tuduhan kononnya terdapat pertindihan nama di kalangan para pengundi. Tuduhan tidak berasas tersebut dilakukan dalam usaha terdesak mereka untuk cuba mendapatkan undi dengan membuat tuduhan tidak adil agar masyarakat setempat meragui ketelusan SPR dan BN sendiri.
• Gambarkan BN sentiasa teruk - Seakan menjadi lumrah, kerajaan pusat menjadi sasaran lantas apa sahaja yang dilakukan akan dianggap sebagai negatif. Soal integriti, ketelusan, rasuah dan kezaliman digembar-gemburkan sebagai isu utama sedangkan yang sebenarnya para pemimpin dalam pakatan pembangkang juga mempunyai kecenderungan dalam melakukan hal yang lebih teruk dari gambaran mereka terhadap BN. Apa yang pasti, BN sebagai kerajaan bertanggungjawab sentiasa memastikan bahawa perlakuan negatif sedemikian dibanteras malah turut menubuhkan jabatan-jabatan khas bagi menanganinya dengan lebih berkesan.
• Fitnah berleluasa – Bukan hanya melalui pentas ceramah dan kunjungan dari rumah ke rumah malahan tindakan PAS yang kreatif mewujudkan idea berkaitan hal terbabit sentiasa terserlah. Ini termasuklah dengan membuat tuduhan yang menggambarkan pergerakan Pemuda UMNO sebagai samseng dan membuat serangan terhadap jentera mereka. Ini belum lagi membuat pelbagai tuduhan palsu berkaitan pembangunan di kawasan sekitar dan juga di Negeri Sembilan termasuk ketika pentadbiran Isa sebagai Menteri Besar.
• Provokasi melalui mesej pesanan ringkas (sms) – Taburan sms Pemuda PAS yang mengajak jihad dilakukan adalah antara usaha pakatan pembangkang untuk meraih simpati lantas menimbulkan kekacauan agar pilihan raya yang dijadualkan gagal berjalan lancar. - UMNO online
Comments
Post a Comment