KUALA LUMPUR 13 Okt. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kecewa dengan tindakan segelintir kumpulan yang tidak menghargai pengorbanan polis dalam menjaga keamanan negara.
Sebaliknya, beliau berkata, ada segelintir pihak yang kini dilihat lebih cenderung melanggar undang-undang serta bertindak menyertai perhimpunan haram bagi menimbulkan kekecohan.
''Mereka ini mungkin tidak pernah terfikir untuk menghargai khidmat polis. Tanpa polis, kita tidak dapat hidup aman di negara kita,'' katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Unit Tindakan Khas (UTK) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Turut hadir, isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Timbalannya, Tan Sri Ismail Omar.
Menurutnya, pemikiran masyarakat kini sudah berubah dan mereka lebih gemar mencabar undang-undang negara.
''Dia ingat kalau ramai, dia boleh buat apa saja. Sudah tentu dia tahu polis tidak akan tahan semua orang. Kalau ada seribu orang dalam perhimpunan. Macam mana polis nak tahan semua. Itu yang menjadikan mereka semakin berani,'' jelasnya.
Dalam senario ini, beliau berkata, adalah tidak salah polis bertindak keras sekiranya mereka turut berkeras dengan pasukan keselamatan itu.
Beliau sebelum itu ketika berucap pada majlis itu merakam ucapan terima kasih kepada pasukan UTK yang bersama-sama beliau sejak 30 tahun yang lalu.
''Saya bersyukur... saya hanya akan rasa takut sekiranya UTK tidak berada bersama saya,'' ujarnya. - Utusan
Comments
Post a Comment