Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Monday, October 19, 2009

Jumlah kehadiran pada majlis pelancaran luar jangkaan

IPOH: Kehadiran melebihi 60,000 penduduk negeri ini pada majlis pelancaran gagasan 1Malaysia malam tadi adalah di luar jangkaan dan menunjukkan rakyat memang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kehadiran penduduk pelbagai kaum di Stadium Perak itu menunjukkan mereka mahu menjayakan satu cita-cita negara, satu hasrat, satu impian dan satu harapan, iaitu 1Malaysia.

“Ia membuktikan rakyat menyokong Najib yang bukan pemimpin untuk satu kaum, bukan pemimpin untuk satu kumpulan dan bukan pemimpin untuk satu parti.

"Beliau adalah pemimpin sekalian rakyat jelata di negara ini. Mari kita tingkatkan keazaman kita. Kita menunjukkan kesetiaan kita bersama-sama beliau untuk menjayakan cita-cita 1Malaysia ini. Beliau adalah pemimpin kita, pemimpin 1Malaysia," katanya pada majlis itu.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata gagasan 1Malaysia adalah gerakan massa untuk menyatukan rakyat pelbagai lapisan dan melupakan apa saja bentuk perbezaan.

Katanya, gagasan berkenaan meminta rakyat menghayati semula identiti mereka dan menghormati tradisi.

Pada masa sama, katanya, Najib mahu gagasan 1Malaysia memupuk perasaan kasih-sayang dan kemesraan sesama rakyat.

"Perdana Menteri minta kita sayang dan menunjukkan kemesraan ... meminta kita supaya mengenal siapa kita... bagaimana kita boleh menggembleng tenaga kita semula. Ada pihak mengetepikan Perlembagaan Negeri Perak termasuk Perkara 16. Mereka cuba mengetepikan hak dan kedudukan raja-raja kita.

"Apakah kita mahu membiarkan saja. Kita bersatu menggembleng tenaga menyokong Menteri Besar dan mengukuhkan komponen perjuangan kita," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...