Oleh Kamal Ahmad
MOHD Isa (kanan) bersama calon Pas, Zulkefly. |
Rekod tiga kali kalah Zulkefly kelebihan terbaik buat BN
KEMPEN bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang sudah masuk hari keempat. Calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan pencabarnya, Zulkefly Omar dari Pas semakin sibuk. Begitu juga dengan jentera kedua-dua parti, sehingga saban waktu ada saja majlis diadakan dalam usaha meraih sokongan.
Malam kelmarin, lebih 3,000 penduduk Taman PD Utama dan dari kawasan sekitar menghadiri Majlis Sentuhan Mesra Aidilfitri Bersama Pemimpin yang dihadiri Isa. Seperti biasa, beliau yang sentiasa peramah, ringkas dan bersahaja menyebabkan 'orang pangkal' (akar umbi) mudah mendekatinya. Ucapannya pula mudah difahami tetapi kadang kala pedas, berani serta sinis.
Ketika di PD Utama, Isa muncul di pentas tidak lebih lima minit tetapi berjaya melontarkan mesej ringkas.
Beliau juga sempat membidas kenyataan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, yang mempertikaikan pembangunan Port Dickson ketika era beliau sebagai Menteri Besar. "Lebih baik beliau bertanya kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, apakah pembangunan yang sudah beliau laksanakan di Kelantan," katanya.
Majlis yang dihadiri Isa disusun Bilik Gerakan Utama DUN Bagan Pinang. Beliau sentiasa hadir pada majlis yang dianjurkan. Setiap majlis diadakan selang dua atau tiga jam sekali antara jam 9 pagi hingga 5 petang setiap hari. Sebelah malam, Isa menghadiri sekurang-kurangnya tiga lagi majlis yang turut dihadiri pemimpin kanan BN terutama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang turut berkampung di Bagan Pinang.
Siri kempen calon Pas kurang sambutan. Nik Aziz yang tidak hadir untuk ceramah di Bagan Pinang malam kelmarin dan diganti Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Kehadiran Penasihat DAP, Lim Kit Siang, gagal menarik ramai hadirin.
Selain beberapa kejadian kekasaran pada hari penamaan calon, suasana kempen adalah terkawal. BN tertumpu kepada peringatan mempertahankan perpaduan yang dianggap Muhyiddin benteng terakhir dalam kehidupan harmoni rakyat negara ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan pula meminta rakyat menghargai perpaduan dikecapi sekarang kerana banyak negara yang merdeka tetapi rakyatnya tidak menikmati kehidupan sempurna sebaliknya merempat tinggal dalam kotak serta bawah jambatan.
Pada masa ini, BN menguasai 21 daripada 36 kerusi DUN di negeri itu. Dalam pilihan raya kali ini, BN mempunyai kelebihan kerana rekod membuktikan, Negeri Sembilan bukan untuk Pas. Rakyat khususnya orang Melayu menolak parti itu untuk menjadi wakil mereka di Parlimen atau DUN. Buktinya, dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, Pas bertanding 13 kerusi tetapi hanya menang satu DUN Paroi. Pas juga gagal di tiga Parlimen yang ditandingi Jelebu, Jempol dan Tampin. Zulkefly turut menguatkan lagi bukti kegagalan Pas di negeri itu apabila pernah bertanding tiga kali tetapi tewas semuanya. Terbaru, beliau tewas kepada Mustapha Salim (BN) ketika bertanding di DUN Lenggeng dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.
Saingan sengit itu menyebabkan timbul isu undi pos yang didakwa Pas sebagai tidak telus. Ia kemudian dijadikan modal untuk mereka mempersoalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kempen. Besar kemungkinan, jika keputusan tidak memihak kepada calon mereka, Pas akan menggunakannya sebagai alasan kekalahan.- Berita Harian
Comments
Post a Comment