Skip to main content

4 rukun pembaharuan – TPM


MUHYIDDIN Yassin bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin serta barisan Exco ketiga-tiga sayap parti melaungkan slogan Hidup UMNO! pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Tahunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di PWTC, Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan empat rukun yang perlu digerakkan oleh seluruh warga UMNO bagi menjayakan perubahan dan pembaharuan demi kelangsungan perjuangan parti terus relevan serta mendapat kepercayaan rakyat.

Dalam ucapan bertajuk Menggalas Tuntutan Perubahan ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di sini malam ini, Timbalan Presiden parti mengingatkan tanpa kesediaan untuk berubah, UMNO akan diubah.

Muhyiddin menekankan betapa perlunya menerima hakikat bahawa landskap politik negara sudah berubah, nilai dan budaya politik masyarakat Melayu sendiri juga telah berubah.

“Tidak ada ertinya sekiranya kita hanya mampu berubah tetapi tidak menjadikan UMNO relevan dengan putaran masa. UMNO perlu relevan memahami suara, bahasa, gaya dan nuansa politik baru,” kata beliau dalam ucapan perasmian sulungnya itu yang dihadiri oleh 2,379 perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri.

Empat rukun bagi melakukan perubahan dan pembaharuan parti itu perlu bermula dengan kesatuan minda (wahdatul fikr); dihayati dengan kesatuan hati (wahdatul qalb); bergerak dengan kesatuan amal (wahdatul amal); dan menuju kesatuan matlamat (wahdatul hadaf).

“ Dengan terbinanya kesatuan minda, UMNO akan mempunyai visi perjuangan yang jelas. Terjalinnya kesatuan hati, setiap daripada kita akan menjiwai erti perjuangan UMNO. Dengan terbentuknya kesatuan amal, kita bergerak dan bertindak di atas satu landasan dan satu pasukan. Dengan terpaterinya kesatuan matlamat, kita akan dapat mencapai tujuan perjuangan kita demi agama, bangsa dan tanah air.

“ Sekiranya kita dapat menghayati dan melaksanakan keempat-empat rukun ini, kita pasti akan melahirkan generasi pemimpin Ulul Albab yang teguh imannya, tajam ilmunya dan berkat perjuangannya.”

Sambil merujuk peringatan Allah dalam ayat al-Quran surah al-Shof, ayat 4, Muhyiddin berkata, parti perlu sentiasa diperkukuh dan dimantapkan, perlu bergerak sederap dan senafas, setia memikul amanah, menurut perintah dan meletakkan matlamat perjuangan parti mengatasi kepentingan amarah diri.

“Marilah kita menterjemahkan amanat Presiden agar tidak ada lagi di antara kita yang menjadi batu api, batu ronson, kaki cucuk, talam dua muka, pepat di luar rencong di dalam dan si Kitol yang lidah bercabang, langkah menyilang.

“Tidak ada lagi perpecahan dalaman, tidak ada lagi Team A, Team B seperti dulu, tidak ada lagi gerakan jatuh menjatuhkan pemimpin dan tidak ada lagi perebutan kuasa sehingga parti menjadi mangsa. Yang ada hanya satu wadah, satu pasukan, satu UMNO,” kata beliau.

Timbalan Presiden menegaskan, UMNO tidak tertegak sebagai parti yang statik, jumud dan beku ketika zaman sedang berubah dengan pantas.

“ Saya yakin UMNO mahu berubah. UMNO telah mula berubah. Dan UMNO akan terus membuat perubahan untuk kebaikan. Sebagai sebuah parti yang lahir dari suara Melayu dan yang mendapat dokongan rakyat, UMNO pasti akan melakukan perubahan untuk mencapai kebaikan.

“UMNO mengambil serius tuntutan ke arah perubahan ini kerana proses pembugaran semula adalah kunci kekuatan UMNO masa kini bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang,’’ katanya.

Tradisi perjuangan UMNO membela bangsa, kata Muhyiddin, tidak pernah padam meskipun terpaksa berhempas pulas dalam gelombang sistem politik demokrasi.

“Kita sedar demokrasi tidak mengenal rekod pencapaian dan sejarah perjuangan silam. Sebuah parti yang banyak berjasa dan gah berkuasa sekalipun boleh rebah sekiranya tidak lagi diterima rakyat,” jelasnya.

Muhyiddin bagaimanapun menegaskan: “UMNO mampu menempuh cabaran ini dan memenuhi harapan baru. Ini kerana UMNO adalah parti yang pragmatik dan pantas membaca keadaan serta berani membuat perubahan.”

Beliau bagaimanapun menarik perhatian bahawa bukan UMNO sahaja perlu berubah tetapi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain juga perlu berubah.

“Kita perlu bersedia untuk melakukan transformasi yang lebih mendalam termasuk mencapai muafakat baru dalam hubungan antara parti-parti dalam BN. Muafakat baru ini mestilah berlandaskan semangat penerimaan antara kaum dan penyanjungan terhadap kepelbagaian sebagai sumber kekuatan kita sebagaimana digariskan oleh Presiden dalam gagasan 1Malaysia.”

Dalam mendepani cabaran semasa, Muhyiddin menyatakan keadaan zaman gila (jaman edan) seperti digambarkan oleh pujangga Ronggowarsito dapat dirasakan apabila rakyat dihidangkan dengan fitnah dan pembohongan sehingga kekeliruan dan kepalsuan menjadi kebiasaan.

“Khabar angin, provokasi, cerita palsu, berita sensasi sengaja direka untuk membangkitkan rasa benci terhadap musuh. Masyarakat sukar untuk membezakan antara kebenaran dan kepalsuan, antara kebaikan dan kemungkaran. Akhirnya, yang benar menjadi palsu, yang palsu menjadi benar. Yang maaruf menjadi mungkar, yang mungkar menjadi maaruf. Yang adil menjadi zalim, yang zalim menjadi adil. Yang hak menjadi batil, yang batil menjadi hak.

“ Ini adalah hasil tangan-tangan mereka yang melakukan kerosakan atas nama kebebasan, kesaksamaan, keadilan dan juga atas nama agama. Matlamat menghalalkan cara, walaupun taruhannya sebuah bangsa dan negara.”

Dalam menangani situasi tersebut, Muhyiddin mengajak warga UMNO terus berjuang dengan berbekalkan semangat dan iltizam membela agama, bangsa dan negara. - Utusan

Comments

Popular posts from this blog

Susahnya jadi Isteri Ketua Dewan Ulama Pas Perlis

Ustazah dakwa keinginan seks suami cukup tinggi KANGAR 24 Mac - Seorang ustazah mendakwa suaminya, bekas Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Abdul Rashid Rahman lebih mengutamakan kepuasan seks sendiri tanpa mempedulikan kesihatan dirinya yang ketika itu menderita kesakitan akibat bisul di punggung. Dakwaan tersebut dibuat oleh Siti Rosmala Mohamed, 38, ketika memberikan keterangannya selaku pemohon yang memfailkan permohonan cerai secara fasakh pada 15 Februari 2008 terhadap Abdul Rashid, 60. Siti Rosmala memberikan keterangan tersebut di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Zaidi Abdullah di Mahkamah Rendah Syariah di sini. Ibu kepada tiga anak itu turut mendakwa, walaupun mereka sering bergaduh sehingga tidak bertegur sapa lebih seminggu, namun suami sering kali memaksanya melakukan hubungan seks. "Walaupun seminggu tidak bercakap, selepas saya dimarahi atau dipukul namun dalam soal nafkah batin (hubungan seks), saya mesti berikan biarpun terpaksa," dakwa Siti Rosmala.

Anwar Ibrahim dan One-Zionis

  NED : 1. Anwar Ibrahim 2. Lorne Craner (Yahudi), Presiden IRI 3. Carl Gershman (Yahudi), Presiden NED 4. Kenneth Wollack (Yahudi), Presiden NDI 5. John D Sullivan, Pengarah Eksekutif CIPE Andainya kita terima kononnya KERAJAAN TERSILAP dan terambik supplier yang ada kaitan dengan Israeli dan terguna firma Public Relation Amerika yang ada pejabat di Tel Aviv. Kesilapan supplier PDRM adalah sikap Pak Lah yang leka dan cuai. Sekarang sudah tidak ada masaalah itu. Manakala perkhidmatan APCO tak ada kena mengena dengan geoglobal politics tetapi advisory dalam hal public relation termasuk online media. Dalam dua2 hal ini, kerajaan membayar service dan peralatan. Kita tentukan apa yang kita mahu dari perkhidmatan yang kita mahu. Firma yang kononnya Yahudi bukan penentunya dan mengarah kita. Untuk banding dengan hubungan Anwar dengan Yahudi Zionis, lihat gambarajah yang ada kaitan dengan power-power broker dunia berikut: Dari tiga gambarajah, Anwar bergantung harap kewangan, ke

KISAH BENAR ANWAR IBRAHIM ! BHG 1

1 DENDAM KESUMAT Anwar Ibrahim mempunyai perasaan dendam yang kuat atau dipanggil DENDAM KESUMAT sama ada kawan atau lawan.Dendam yang tak habis-habis terhadap Sanusi Junid, Rahim Tamby Chik, Abdullah Ahmad Badawi dan rami lagi menjadikan beliau tidak popular sebagai pemimpin. 2 PENENTANG Sikap menentang ketua menjadi amalan Anwar sejak aktif dalam UMNO pada tahun 1982. Pada tahun yang sama beliau menentang Suhaimi Kamaruddin untuk merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO. 3 PECAH DAN PERINTAH Sikap pecah dan perintah merupakan strategi Anwar untuk berkuasa dalam UMNO dan kerajaan. Beliau sanggup mengadudumbakan UMNO Kedah bila beliau wujudkan komplot menentang ura-ura Dr. Mahathir untuk melantik Sanusi Junid sebagai Menteri Besar Kedah. Begitu juga beliau mengadakan tekanan terhadap Rahim Tamby Chik sehingga memaksanya meletakkan sebagai Ketua Menteri Melaka. 4 SUMPAH BOHONG Anwar berani bersumpah untuk tidak menentang Ghaffar Baba bagi jawatan T