Justeru, tugas utama Najib selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN adalah untuk memastikan bahawa BN menang besar dengan angka yang kondusif dan terus menjadi relevan pasca pilihan raya yang akan datang.
Sesungguhnya tugas untuk memperkasa BN adalah jauh lebih penting daripada menzahirkan transformasi dalam UMNO itu sendiri kerana tanpa sokongan padu parti komponen BN, atau jika BN kecundang dalam pilihan raya akan datang, UMNO tidak akan ke mana-mana. Sia-sialah sahaja kebangkitan yang dipelopori oleh UMNO.
Pada hemat saya, lima kaedah atau langkah yang perlu dilaksanakan oleh pucuk pimpinan negara untuk dalam memperkasakan kembali BN dalam masa terdekat ini ialah:
Pertama: Pihak pimpinan tertinggi BN harus memastikan bahawa setiap parti komponen BN terutamanya MCA, MIC dan Gerakan melaksanakan transformasi total seperti yang dilakukan UMNO.
Najib selaku Pengerusi BN wajib dan bertanggungjawab dalam memastikan segala kemelut dalam parti berkenaan diselesaikan secepat mungkin.
Konsep serta dasar tidak mahu masuk campur tangan hal ehwal parti komponen sudah tidak boleh diguna pakai dan sudah lapuk dek zaman. Sebagai 'nakhoda zaman' adalah menjadi tugas beliau untuk mempersiap sediakan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
Kedua: Cara pemilihan calon dalam pilihan raya akan datang juga memerlukan transformasi yang ketara. Calon-calon yang berkualiti serta berintegriti dan boleh diterima rakyat harus menjadi keutamaan. Sistem kuota yang meletakkan sesuatu kawasan dikhaskan untuk sesuatu parti komponen mengikut tradisi harus di rombak dan dihentikan.
Tiada gunanya BN meletak calon berpaksikan parti-parti tertentu kalau sudah tahu kalah seperti di Parlimen Taiping semasa Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12.
Ketiga: BN juga harus bersikap inklusif. BN harus membuka pintu seluas-luasnya kepada seberapa banyak parti politik yang ingin menyertainya tanpa ada kekangan daripada mana-mana pihak. Dalam hal yang berkaitan, saya ingin menyarankan agar dasar keputusan untuk hanya menerima mana-mana parti politik ke dalam BN jika tidak menerima tentangan daripada mana-mana parti komponen - sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Cara begini boleh memusnahkan BN secara tidak langsung.
Dalam hal yang berkaitan, keterbukaan untuk menerima kemasukan bukan sahaja kepada parti baru seperti Makkhal Sakhti tetapi juga kepada parti-parti pembangkang seperti Pas, PKR dan DAP tanpa syarat. Ini secara tidak langsung akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik yang berpaksikan semangat 1Malaysia.
Keempat: Parti komponen harus membuktikan keikhlasan untuk sama-sama menjayakan visi dan misi manifesto BN. Janji harus ditepati. Tidak dinafikan bahawa prestasi teruk BN dalam pilihan raya yang lalu adalah disebabkan penolakan rakyat terhadap kerusi calon BN selain UMNO, seperti di Pulai Pinang, Perak dan Selangor. Maka pemimpin BN harus memastikan pisang tidak akan berbuah dua kali.
Krisis kepimpinan harus segera diselesaikan di atas semangat kepentingan BN diutamakan daripada kepentingan diri. Penyakit "gila kuasa" harus dihindarkan. Pemimpin yang menjadi liabiliti kepada BN harus melepaskan jawatan. Rakyat dahagakan sumbangan daripada pemimpin politik dan bukannya percakaran sesama pemimpin untuk merebut kuasa.
Kelima: Mulai daripada sekarang, segala program politik sama ada di peringkat nasional mahupun negeri harus menggunakan lambang BN di atas rasa kesepakatan serta semangat setiakawan esprit de corp.
Maka tidaklah lagi timbul bahawa BN hanya parti untuk pilihan raya. Persediaan untuk menghadapi PRU ke-13 harus bermula dari sekarang. BN harus dijadikan satu jenama yang sentiasa mekar di sanubari rakyat Malaysia. Sesungguhnya BN adalah lambang kejayaan 1Malaysia.
Jika semua ini berjaya dilakukan, pada hemat saya, pihak pembangkang mempunyai masa depan yang amat gelap kerana telah terbukti mereka "gagal untuk berpakat" dalam memastikan kesejahteraan serta pembangunan dilaksanakan.
Kepada pemimpin-pemimpin BN,teruskanlah kerja-kerja membangunkan negara dan rakyat tanpa mengira penat-lelah.
Rakyat akan sentiasa mengenang jasa-jasa yang ditaburkan dan masa yang terbaik untuk rakyat menterjemahkan terima kasih mereka adalah semasa pilihan raya. Bak kata pepatah Tionghoa yang dalam maknanya, "Kalau kita minum, ingatlah sumbernya; kalau kita berjaya, jangan lupa jasa orang yang memberi sumbangan kepada kita".
Dr. Mohd. Azam Rauzan. Bandar Baru Uda, Johor Bahru - Utusan
Comments
Post a Comment