PORT DICKSON 5 Okt. - Penggunaan ayat-ayat al-Quran secara sesuka hati oleh pihak yang tidak memahami Islam khususnya di pentas-pentas politik perlu dihentikan kerana ia jelas menyentuh sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, malah jika perkara itu dibiarkan ada kemungkinan ayat-ayat al-Quran akan terus digunakan oleh golongan itu dan akhirnya akan timbul suasana yang tidak tenteram.
Ujarnya, penggunaan ayat al-Quran amat sensitif dan kegagalan memberi tafsiran yang tepat hanya akan memburukkan keadaan apatah lagi dilakukan oleh golongan tidak faham tentang Islam.
''Sebagai contoh dalam konteks Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang di sini. Suasana dilihat begitu kritikal kerana masing-masing mahu menang pada pilihan raya. Oleh itu semua pihak harus berhati-hati dalam memberi kenyataan.
''Jangan ada nanti mereka yang tidak faham Islam sewenang-wenangnya membaca ayat-ayat al-Quran ketika berkempen. Perkara ini amat sensitif kerana ia melibatkan kitab suci milik umat Islam,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan kelab Tabung TaHa di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Baru Sri Rusa di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Bagan Serai, N. Gobalakrishnan membaca ayat dari Surah al-Imran ayat 54 di markas Pas Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang malam kelmarin.
Sebelum ini pada ceramah di Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang pada 4 April lalu, Ahli Parlimen Taiping yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis dari DAP, Nga Kor Ming turut menggunakan ayat suci al-Quran dalam ceramahnya ketika berkempen.
Dalam pada itu, Jamil Khir menasihatkan kepada pengundi Bagan Pinang supaya memilih calon yang benar-benar mampu membela rakyat dan menganjurkan kepada perpaduan.
''Saya juga amat berharap kempen yang dijalankan sepanjang tempoh berkempen dilakukan secara sopan dan berhemah. Jangan membuat perkara-perkara yang keluar daripada landasan Islam kerana ia boleh mengundang kemurkaan Allah,'' katanya lagi.
Beliau berkata, Islam mahu umatnya mengamalkan sikap persaudaraan yang tinggi tanpa mengira pegangan politik masing-masing.
Sementara itu beliau memberitahu, penerbangan pertama ke Tanah Suci bermula pada 20 Oktober ini dan mereka yang terlibat telah pun dimaklumkan oleh pihak Tabung Haji.
''Saya ingin menasihatkan kepada para jemaah yang telah terpilih supaya menjaga kesihatan sepanjang berada di Tanah Suci,'' ujarnya. - Utusan
Comments
Post a Comment