Mangsa, Lans Koperal Mohd. Faizal Mohd. Zin, 21, cedera akibat dipukul dengan topi keledar oleh salah seorang penyokong dipercayai parti pembangkang ketika cuba menghalang kumpulan orang ramai terbabit daripada menyerang kenderaan yang membawa Ketua Polis negeri itu.
Ketika kenderaan membawa Osman tiba di tempat kejadian, keadaan tidak terkawal dengan penyokong kedua-dua parti sudah mula bergaduh dan saling pukul memukul termasuk menggunakan kayu.
Osman yang dalam perjalanan ke Bagan Pinang selepas mengiringi Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof meninjau pusat pembuangan undi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (T) Sua Betong, dekat sini turut terperangkap dalam situasi kelam kabut itu.
Abdul Aziz bagaimanapun diiringi anggota polis bermotosikal kemudian keluar dari kawasan kejadian bagi mengelakkan keadaan lebih buruk berlaku.
Mohd. Faizal pula dibawa ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan.
''Saya tiba di situ dan melihat penyokong sudah penuh. Ketika itu, pemandu saya turun dan melihat kejadian itu. Nasib dia tak baik, dialah yang terkena dan dipukul oleh orang yang tidak dikenali.
''Saya percaya kejadian ini berlaku antara penyokong parti yang datang dari luar negeri ini. Penyokong parti dari Negeri Sembilan, sama ada Barisan Nasional (BN) mahupun Pas, cuba meleraikan ketegangan itu," Kata Osman ketika ditemui di tempat kejadian.
Walaupun ada mangsa yang cedera dan sebuah kereta dirosakkan kumpulan penyokong itu tetap anggan bersurai.
Berikutan pertambahan kehadiran anggota polis, kumpulan penyokong BN bersurai dan masuk ke Kampung Si Rusa.
Namun terdapat beberapa orang yang tidak berpuas hati cuba mengekori kumpulan BN itu.
Kejadian yang berlarutan sehingga hampir 15 minit itu berjaya dileraikan pada pukul 7 malam ini, walaupun ada cubaan untuk menyambung sengketa itu sehingga ke Kampung Si Rusa.
Bagaimanapun sehingga malam ini, keadaan di lokasi kejadian dan di Kampung Si Rusa, dekat sini tenang dan terkawal.
Menurut Osman, setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan pihak polis akan meneliti rakaman kejadian itu sebelum tindakan selanjutnya diambil.
''Kita tengoklah keadaannya bagaimana. Kita akan lihat rakaman yang dibuat dan setakat ini kita tidak tahu siapa yang pukul anggota polis ini," katanya.
Tambah beliau, beliau turut ditolak semasa cuba meleraikan ketegangan itu.
''Biasalah, saya pun ditolak. Saya percaya, individu yang memukul anggota polis itu tidak sengaja melakukan kekasaran. Kita tengoklah rakaman itu," ujarnya. - Utusan
Comments
Post a Comment