Pekeliling yang diterimanya itu adalah dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bertarikh 5 Februari 2010 mengenai pembatalan majlis perarakan itu pada tahun ini.
Pekeliling yang ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Muhammad Yusoff Wazir itu sekali gus membuktikan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng berbohong apabila menafikan membatalkan perarakan tersebut.
Menurut ketua jabatan itu yang enggan dikenali, beliau tampil menunjukkan pekeliling itu kerana tidak mahu bersekongkol dengan pembohongan tersebut dan kemudian menuduh Utusan Malaysia membuat fitnah terhadap kerajaan negeri.
''Saya tidak faham mengapa mereka hendak berbuat demikian (menafikan) sedangkan saya dan ketua-ketua jabatan yang lain sudah menerima pekeliling mengenai pembatalan perarakan Maulidur Rasul.
''Macam mana saya tidak marah, sebagai orang Islam kita tentu marah kerana kerajaan negeri selama ini melaung-laungkan konsep pentadbiran Amar Maaruf Nahi Mungkar dan kononnya mengikut cara kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz.
''Apa yang paling saya sedih apabila ada di kalangan orang Islam sendiri seolah-olah menghalalkan pembohongan yang dibuat ini," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Kandungan pekeliling itu berbunyi:
"Sebagai makluman, Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang 1431H/2010M dalam mesyuaratnya bertarikh 3 Februari 2010 telah memutuskan bahawa majlis perarakan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul adalah dibatalkan dan diteruskan dengan Majlis Perhimpunan Ummah pada 26 Februari 2010 yang akan diadakan di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang".
Pekeliling berkenaan diedarkan kepada semua ketua jabatan negeri dan Persekutuan, ketua badan berkanun negeri dan Persekutuan serta ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan negeri.
Salinan pekeliling itu dihantar kepada Setiausaha Sulit, Timbalan Ketua Menteri I; Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang. - Utusan
Comments
Post a Comment