Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Wednesday, February 10, 2010

Nizar terus mencabar Sultan Perak


Mohammad Nizar Jamaluddin ketika keluar dari Istana Kehakiman selepas mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan, semalam.

PUTRAJAYA 9 Feb. - Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menganggap keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan jawatan Menteri Besar Perak kepada Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, sebagai cukup menyedihkan.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu mendakwa, ia akan menyebabkan demokrasi di negara ini "diikat, jauh lebih kusut dan menjurus kepada satu suasana akan datang yang dikenali sebagai monarki mutlak".

''Maknanya kita tidak payah (mengadakan) pilihan raya dan kita tidak payah ada Parlimen kerana monarki boleh menetapkan siapa jadi pemimpin sesebuah negeri atau negara.

''Inilah risiko paling tinggi yang sedang dihadapi oleh masyarakat di negara ini dan dengan itu kita kena perbaiki balik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan di sini hari ini terhadap rayuannya agar jawatan Menteri Besar Perak dikembalikan kepadanya.

Mohammad Nizar berkata, keputusan itu merupakan satu petanda yang amat hitam dalam sejarah Malaysia kerana rakyat mahu melihat supaya Institusi Kehakiman diberi ruang sebebas-bebasnya untuk membuat keputusan.

Beliau berkata, keputusan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa institusi tersebut masih belum terlepas dan bebas daripada apa-apa sahaja pengaruh.

''Jadi, keputusan tersebut tidak akan menyelesaikan kemelut perlembagaan di Perak kecuali hak untuk memilih kerajaan diberikan semula kepada rakyat.

''Mahkamah tadi hanya mentafsirkan undang-undang dan untuk itu kami terpaksa mentafsirkan semula perkara-perkara yang disebutkan tadi sebelum memutuskan tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima keputusan itu walaupun ia satu perkara yang cukup menyedihkan khususnya kepada rakyat yang berpegang teguh kepada undang-undang.

''Keputusan itu telah mengabai dan mengetepikan semua prinsip demokrasi yang lalu," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...