Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Saturday, February 13, 2010

Kerajaan akan terus sokong pertumbuhan perniagaan - PM

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Kerajaan akan terus menyokong pertumbuhan perniagaan dalam negara tanpa mengetepikan keperluan rakyat yang memerlukan walaupun pada saat sukar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, sehubungan itu beberapa perubahan yang sukar akan dilakukan secara teliti bagi menjamin kestabilan negara tidak terjejas.

"Sebagai contoh dalam isu subsidi atau memperluaskan asas percukaian, kita perlu mengambil kira sama ada mahu menangguhkan ke satu masa lain atau untuk (ditanggung) generasi akan datang.

"Jadi kita perlu bertindak sekarang secara muktamad dan teguh untuk mempersiapkan kejayaan negara," katanya.

Perdana Menteri berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini malam ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Presiden NCCIM, Syed Ali Alattas.

Sementara itu, Najib berkata, sewaktu kerajaan menguruskan hubungan ekonomi negara di peringkat antarabangsa, NCCIM dan organisasi perdagangan perlu turut memainkan peranan mereka.

Beliau berkata, antaranya adalah membantu memberi kesedaran dan kefahaman kepada komuniti perdagangan dan masyarakat berhubung peluang dan cabaran di peringkat global.

Katanya, Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) umpamanya telah mengambil kira perkara itu malah pertumbuhannya diasaskan oleh dorongan sektor swasta.

"Saya memberi penekanan kepada komuniti perniagaan supaya memahami implikasi ekonomi serantau yang bersepadu dan memberi perhatian serius kepadanya.

"Ia merupakan perubahan yang perlu dilakukan bagi membolehkan kita kekal bersaing dalam landskap ekonomi semasa," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...