Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Tuesday, February 16, 2010

Nik Aziz kian menyimpang?

KOTA BHARU 15 Feb. - Sikap Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memperkecilkan sambutan Maulidur Rasul kerana menganggap ia tidak mempunyai fadilat disifatkan sebagai 'menyimpang'.

Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah berkata, ini kerana memperingati Nabi Muhammad merupakan sunat muakad yang tertinggi dalam menghayati sejarah serta perjuangan baginda yang dapat menginsafkan diri setiap umat Islam.

Sehubungan itu, beliau menganggap sebarang pandangan yang menganggap hari keputeraan baginda itu tidak perlu disambut sebagai bertentangan dengan akidah.

"Dia termasuk dalam orang yang mengharamkan ijtihad kerana hukum ini ialah dalam empat perkara iaitu al-Quran, hadis, sunnah dan kias (ijtimak ulamak).

"Siapa yang menolak ini tak bolehlah kerana boleh diibaratkan macam sesat jadi bila sesat wajib kita tentang," ujar beliau di sini hari ini.

Abdullah yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah mengulas mengenai kenyataan Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas mengenai sebab utama Maulidur rasul tidak disambut di negeri ini.

Ketika ditemui semalam, Nik Abdul Aziz berkata, bulan Maulud tidak mempunyai fadilat dan sebarang kelebihan berbanding bulan Ramadan.

Bagaimanapun beliau berkata, corak pentadbiran yang diamalkan kerajaan negeri telah menerapkan nilai Maulud yang sebenarnya.

Abdullah menjelaskan, Maulidur rasul perlu disambut sebagai tanda orang Islam menyayangi baginda dan mengeratkan hubungan kerohanian antara baginda dengan umatnya.

Tegasnya, Allah sendiri memuliakan nabi maka adalah sunat bagi umat manusia turut meraikan hari kelahiran baginda.

"Apa ini maulud..maulud merupakan perhimpunan untuk memuji dan memperingati hari kelahiran nabi dengan mengadakan jamuan sedekah dan membaca kisah-kisah mengenai nabi.

"Nabi tak pernah larang dan tak pernah suruh tetapi zaman sahabat baginda dulu mereka meraikan kedatangan maulud dengan cara itu," tegas beliau. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...