NAJIB bersama Rosmah menggaul yee sang pada sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan di Pandamaran, Klang malam tadi. Turut hadir ketua komponen Barisan Nasional, Menteri Kabinet serta Isteri. |
Perdana Menteri berkata, jika rakyat mengambil jalan tengah dan bersikap sederhana, golongan ekstremis lambat-laun tidak ada tempat di kalangan rakyat Malaysia kerana pelbagai kaum kini dilihat menyokong gagasan 1Malaysia.
"Kalau peribahasa Melayu sebut 'tuah ayam nampak di kaki', tuah Malaysia nampak di rakyatnya. Rakyat yang unik berbilang kaum, tidak ada di negara lain. Jangan anggap ini masalah.
"Saya janji kerajaan akan buat yang terbaik untuk rakyat. Berikan kami peluang untuk buktikannya. Percayalah dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Petunjuk Prestasi Utama (KPI), semua ini macam 'yee sang', campur akhirnya jadi sedap, akhirnya rakyat Malaysia akan dapat manfaat besar," katanya ketika menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan di Jalan Chan Ah Choon, Pandamaran, di sini, malam tadi.
Hadir sama, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Soo Koon dan beberapa menteri Kabinet lain.
Berucap di hadapan ribuan pengunjung, Najib berkata majlis itu boleh diadakan di sebuah stadium, hotel mewah, di tengah bandar besar, tetapi Kampung Baru di Pandamaran dipilih berikutan ada dakwaan ia tidak akan mendapat sambutan jika diadakan di sini.
"Mereka turunkan gambar besar saya, kononnya tak isi borang, tak ikut peraturan, jadi gambar kena turunkan. Mereka buat majlis lain supaya majlis ini tak ramai datang tetapi malam ini saya berasa berbesar hati, amat gembira kerana saya dan rakan saya mendapat sambutan sangat hangat di kalangan masyarakat Tionghua yang tinggal di kampung baru Pandamaran ini," katanya. - Berita Harian
Comments
Post a Comment