Bagi mereka, segala tabiat buruk berpolitik hanya ada dalam Barisan Nasional (BN) terutamanya UMNO. Mereka memperbesar-besarkan isu perebutan jawatan dan pertelingkahan dalam komponen BN dan menguar-uarkan bahawa era pemerintahan parti itu kini berada di penghujung.
Pas terutamanya sering menampakkan bahawa dalam apa juga situasi sekalipun mereka yang terbaik, begitu juga PKR yang cuba menggambarkan parti mereka dipimpin oleh individu-individu yang tiada masalah moral, apatah lagi akan terlibat dalam rasuah atau penyelewengan. Semua itu hanya akan dilakukan oleh BN, dakwa mereka.
Tetapi apa yang berlaku sejak kebelakangan ini sudah jelas membuktikan bahawa selagi bernama parti politik maka selagi itu, Pas dan PKR juga tidak akan terlepas daripada fenomena atau sindrom yang melanda parti politik.
Politik tetap politik, ia berkaitan dengan perebutan kekuasaan dan kedudukan, malah jika tersilap langkah oleh kerana kuasa berada dalam tangan maka penyelewengan pun akan berlaku.
Dulu semasa tiada kuasa dan berpengaruh, Pas dan PKR boleh berkata apa sahaja, mereka boleh mendakwa parti mereka sempurna kerana segalanya akan diselesaikan melalui musyawarah dan kesepakatan demi mencapai matlamat menumbangkan BN dan UMNO.
Perebutan jawatan biarpun berlaku akan cuba diredakan dengan menuduh media-media arus perdana sengaja hendak memecah- belahkan parti-parti pembangkang, tetapi bagaimana dengan kenyataan terbaru Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengakui wujudnya budaya 'cah keting' atau cantas mencantas dalam Pas sehingga menimbulkan kepincangan dalam parti tersebut?
Bagaimana pula dengan pembubaran PKR bahagian Kuala Selangor, apabila 13 Ahli Jawatankuasanya bertindak meletakkan jawatan kerana hilang kepercayaan kepada Ketua Bahagian yang juga Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim? Tidakkah semua ini penyakit dalam berpolitik.
'Cah keting' dalam Pas bukanlah perkara baru, malah menurut seorang pemimpin Pas yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penulis, ia semakin ketara ketika pemilihan barisan kepimpinan parti itu pada muktamar di Shah Alam tahun lalu.
''Ia adalah budaya luar yang dibawa masuk oleh PKR ke dalam Pas melalui pemimpin- pemimpin yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dulu dalam Pas tidak ada 'cah keting' kerana semua pemimpin lebih bermusyawarah, apatah lagi apabila melibatkan jawatan-jawatan penting dalam parti," kata pemimpin tersebut.
Semua itu berlaku kerana ada di kalangan pemimpin-pemimpin melihat bahawa Pas kini semakin berpengaruh dan begitu yakin melalui kerjasama dengan PKR dan DAP mereka akan berupaya menumbangkan BN.
Oleh itu sekarang adalah saat terbaik untuk berebut jawatan dalam parti. Walaupun semua itu sekadar impian tetapi bagi pemimpin-pemimpin Pas yang bercita-cita tinggi, ia adalah soal kedua.
Apa yang melucukan ialah apabila budaya 'cah keting' berlaku dalam Pas, Nik Abdul Aziz mengingatkan kita mengenai peristiwa anak Nabi Adam, apabila Qabil membunuh adiknya sendiri kerana menganggap ia pergelutan antara nafsu jahat dan nafsu baik.
Tetapi apabila budaya itu didakwa berlaku dalam UMNO, maka tidak pula hujah anak Nabi Adam itu dikeluarkan, sebaliknya pelbagai tuduhan dilemparkan. Kalaulah Pas benar-benar memperjuangkan politik Islam sudah tentulah budaya buruk itu tidak berlaku.
Demikianlah sikap pemimpin pembangkang, kalau UMNO dan BN buat, itu melambangkan keburukan dan kejahatan tetapi kalau berlaku kepada mereka, ia dianggap ujian dan cabaran.
Lebih malang lagi, apabila isu itu mendapat perhatian, maka mereka menganggap semua yang terjadi adalah permainan politik UMNO.
Namun pembangkang selamanya tidak boleh berpura-pura tentang soal bagaimana budaya buruk akibat memiliki kuasa selain cah keting turut boleh melanda mereka. Pembubaran PKR Bahagian Kuala Selangor contohnya sudah menjadi bukti bagaimana apabila kuasa sudah di tangan, pergolakan pun tidak dapat dielakkan.
Abdul Khalid boleh berkata apa sahaja mengenai pembubaran itu, malah beliau juga berhak untuk mencabar mana-mana pemimpin PKR untuk meninggalkan parti itu. Tetapi dari satu segi ia membuktikan bagaimana baru setahun jagung memegang tampuk kekuasaan, pelbagai masalah sudah berlaku.
Kalaulah bahagian sendiri pun Abdul Khalid gagal untuk mengawalnya, bagaimanakah beliau hendak terus memerintah Selangor yang kini sedang berhadapan dengan pelbagai kemelut? Tidakkah ini akan membuka ruang kepada sesetengah pemimpin dalam PKR untuk 'mencucuk jarum' supaya Abdul Khalid disingkirkan dan jawatan Menteri Besar diserahkan kepada orang lain yang selama ini begitu mengidamkannya?
Mungkin Abdul Khalid boleh menganggap ia satu cerita dongeng tetapi setakat ini yang mewujudkan cerita dongeng di Selangor kononnya PKR mampu memerintah dengan sempurna tanpa kekalutan politik adalah Abdul Khalid dan PKR sendiri.
Pembubaran PKR bahagian Kuala Selangor, bukanlah konflik pertama melanda PKR Selangor, malah pada 29 Oktober lalu, Ahli Dewan Undangan Pelabuhan Klang dari PKR, Badrul Hisham Abdullah mengisytiharkan diri keluar daripada parti itu dan menjadi ADUN bebas.
Semua ini sudah menjadi bukti bahawa PKR bukanlah sebuah parti yang sempurna biarpun pemimpin utamanya, Anwar sering menguar-uarkan seolah-olah merekalah yang terbaik.
Kita harus ingat sebelum kemelut di Selangor, PKR sebelum ini sudah berhadapan dengan konflik politik di Kedah dan Perak, semua itu berkaitan dengan kekalutan apabila sudah mempunyai kuasa.
Kesimpulan, apa yang berlaku kepada Pas dan PKR ini sudah menjadi bukti bahawa mereka pun tidaklah sehebat dan sesempurna mana, oleh itu tidak perlu mereka terlalu melihat apa yang dilakukan atau berlaku dalam BN dan UMNO buruk belaka. Ia kerana kita bimbang suatu hari kelak, ketika Pas dan PKR asyik menuding kain orang lain terkoyak, kain sendiri sudah terlondeh! - Utusan
Comments
Post a Comment