Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
ANGGOTA Polis Unit Forensik menjalankan siasatan kejadian baling bom petrol di sebuah gereja di Petaling Jaya. |
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, tidak menolak kemungkinan percubaan membakar empat gereja di sekitar ibu negara kelmarin, didalangi pihak ketiga, termasuk kalangan Islam dan bukan Islam.
Beliau berkata, semua pihak berkemungkinan terbabit dalam kejadian ini dan polis tidak menafikan kewujudan pihak ketiga yang cuba menimbulkan kekecohan itu.
"Saya tidak pernah cakap orang Islam atau sesiapa terbabit dalam percubaan membakar gereja kelmarin. Jadi masyarakat tidak boleh membuat sebarang spekulasi berhubung dalang kejadian itu.
"Berkemungkinan pihak ketiga yang menjadi dalang pun mungkin juga....semua orang berkemungkinan menjadi dalang bagi menimbulkan kekecohan yang membabitkan sensitiviti agama di negara ini.
"Justeru, polis akan membuat siasatan terperinci bagi menjejaki dalang yang cuba membakar gereja di ibu negara kelmarin. Semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada pihak polis dalam menangani masalah ini," katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, empat gereja di sekitar ibu negara dilempar bom api, dipercayai ada kaitan dengan kontroversi penggunaan kalimah 'Allah' oleh majalah Herald�The Catholic Weekly. Kejadian itu berlaku di empat lokasi di Gereja Metro Taber Nacre A/G Catholic di Taman Melawati; Gereja Assumption Assunta, Petaling Jaya; Gereja Chappel, dekat Damansara dan Gereja Good Shepherd Lutheran di Jalan Othman, Petaling Jaya.
Musa berkata, setakat ini pihaknya masih melakukan usaha pengecaman.
Beliau turut mengesahkan tiada kebakaran terbaru serta ugutan yang diterima membabitkan gereja di seluruh negara dilaporkan kepada pihak polis.
Beliau juga mengingatkan orang ramai termasuk ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) tidak membuat andaian siapa dalang di sebalik kejadian itu dan biarkan polis menyelesaikannya.
"Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan masyarakat diminta jangan membuat spekulasi tertentu berhubung dalang kerana ia boleh menimbulkan lagi kekecohan kerana ini isu sensitif," katanya. - Berita Harian
Comments
Post a Comment