Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Sunday, January 17, 2010

Bantu rakyat tak kira kawasan


MUHYIDDIN beramah mesra dengan penduduk dalam Lawatan Kerja Rasmi dan Majlis Mesra Bersama Rakyat di Padang Bandar Baru Sentul Fasa 8 dan 9, Parlimen Batu, semalam.

BN selesai masalah peringkat akar umbi dengan sepenuh hati: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Komitmen pimpinan parti dan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menyelesaikan masalah rakyat perlu dilakukan secara 'total' (sepenuh hati) bukannya separuh hati kerana kepentingan rakyat lebih utama daripada kepentingan mana-mana pihak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan tidak pernah memilih mana-mana kawasan untuk menyelesaikan masalah rakyat pada peringkat akar umbi walaupun membabitkan kawasan yang ditadbir dan diperintah parti pembangkang atau dibangunkan pihak swasta.

Beliau berkata, komitmen itu ditunjukkan apabila semua Menteri Kabinet diarah untuk menyelesaikan masalah rakyat dalam tempoh tiga tahun ini dan kerjasama rakyat juga diperlukan untuk memberi sokongan padu kepada kerajaan.

"Pokoknya kita akan memberi perhatian utama kepada soal fokus yang dihadapi rakyat, dan saya ingin menjelaskan komitmen pimpinan parti dan kerajaan BN dalam menyelesaikan masalah rakyat adalah komitmen 'total' bukan separuh hati.

"Pembangkang boleh cakap apa saja, walaupun kawasan mereka, kita tidak pilih (untuk selesaikan masalah) kerana kepentingan rakyat lebih utama daripada wakil rakyat pembangkang.
"Kerajaan BN memberi komitmen sepenuh hati untuk selesaikan masalah rakyat, kenapa rakyat tidak melihat kesungguhan ini dan memberi sokongan padu kepada BN?

"Jangan terpedaya (dengan pembangkang), mungkin pilihan raya lalu kita tersalah pilih, nanti kita tebus balik kekalahan dan pastikan kita menang dan masalah berbangkit kita dapat atasi dengan kerjasama semua pimpinan komponen BN," katanya pada majlis Mesra Rakyat di Bandar Baru Sentul di sini, semalam.

Lebih 2,000 rakyat pelbagai kaum menghadiri program itu yang turut mengadakan gerai pameran dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meluangkan masa melawat kawasan perumahan pangsa Sentul Utama yang menghadapi masalah penyelenggaraan dan tapak Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perak di kawasan berhampiran.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan akan menyediakan peruntukan untuk memperbaiki segala kerosakan dan penyelenggaraan di perumahan berkenaan, manakala RM20 juta untuk pembinaan sekolah baru menggantikan sekolah sedia ada.

Sebelum ini, lebih 7,000 penduduk rumah pangsa mengadu menghadapi kerosakan lif, bangunan buruk yang perlu dicat baru, kerosakan tangga batu dan masalah air berkarat. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...