Oleh Hussain Said, Rohaniza Idris dan Mohd Fuzi Lateh
bminggu@bharian.com.my
NAJIB bersalaman dengan orang ramai pada majlis perasmian Program Juara Rakyat di Bandar Bukit Sentosa, semalam. |
Serentak itu, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno mengarahkan semua bahagian parti itu di seluruh negara melaksanakan sekurang-kurangnya satu program Juara Rakyat setiap bulan yang membabitkan 12 bidang yang digariskan dalam program berkenaan.
Beliau berkata, program itu adalah antara cara mengaktifkan jentera parti supaya lebih dekat dengan penduduk setempat, selain menekankan peranan kepemimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mendukung cita-cita rakyat.
"Kita harap dengan ada program Juara Rakyat, pemimpin Umno dan BN sentiasa peka dengan pemasalahan rakyat dan sanggup mengambil tindakan menyelesaikan masalah berkenaan. Ini tidak bererti semua masalah boleh selesai sekelip mata. Program ini adalah mengenai keprihatinan dan sensitiviti kita terhadap apa jua masalah rakyat," katanya pada sidang media selepas pelancaran program itu.
Program itu dilancarkan penuh meriah dengan 20,000 pengunjung daripada pelbagai peringkat usia dan kaum hadir membanjiri tapak program di Bandar Bukit Sentosa, dekat sini, semalam.
Pelancaran program tiga hari yang bermula semalam itu dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.
NAJIB menerima borang aduan rakyat di kaunter TV3, ketika melawat gerai TV3. |
Najib berkata, program Juara Rakyat dimulakan pada peringkat Umno bahagian, manakala pada peringkat sayap parti dan cawangan akan terus dijalankan bahagian masing-masing.
Beliau juga menyarankan program yang didukung Umno itu diikuti parti komponen BN dengan tema sama dalam kegiatan parti masing-masing. "Umno mempelopori konsep Juara Rakyat, tetapi Umno juga memperjuangkan kepentingan semua kaum. Kita mahu program ini bercorak penyertaan semua kaum yang menggambarkan kita Umno memperjuangkan semua kaum bukan orang Melayu saja," katanya
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, Juara Rakyat dipilih sebagai tema kerana Umno dan rakan dalam BN dengan segala perasaan rendah diri menerima keputusan pilihan raya umum lalu, yang mana rakyat memberi isyarat kepada Umno dan BN.
ORANG ramai membuat pemeriksaan darah di gerai Klinik Kesihatan Bergerak Pemuda Umno Malaysia. |
Najib berkata, pemimpin Umno dan BN tidak boleh lalai, sebaliknya mesti terus berjuang untuk kepentingan rakyat kerana kedudukan parti pada masa ini adalah semata-mata atas kehendak dan restu rakyat.
"Kita mesti memperlihatkan parti kita melalui segala usaha tindakan yang dilakukan oleh pemimpin kita di semua peringkat bahawa kitalah adalah juara kepada aspirasi dan kehendak rakyat di dalam negara kita.
"Justeru, kita mesti menyusun langkah memperlihatkan hakikat bahawa kita adalah parti yang sentiasa dapat merasai denyutan nadi rakyat melalui pelbagai usaha yang kita lakukan sepanjang masa," katanya.
Beliau berkata Umno sebagai parti tertua di negara ini juga perlu bekerja lebih keras memenangi hati rakyat agar tidak dilupakan dan hanya menjadi kenangan pada masa depan. - Berita Harian
Comments
Post a Comment