|
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perubahan itu perlu dilakukan dari semasa ke semasa berdasarkan senario politik negara dan kemahuan rakyat yang sering berubah.
Sebagai contoh, katanya, generasi muda di negara ini semakin terdedah dengan nilai-nilai dunia seperti memperjuangkan hak asasi manusia dan menuntut institusi kerajaan yang telus serta lebih bertanggungjawab.
Keadaan itu, jelas beliau, berbeza dengan era 20 tahun lalu yang menyaksikan masyarakat lebih menyayangi serta menghormati UMNO dan BN kerana terikat dengan 'nostalgia' kemerdekaan hasil perjuangan gagasan tersebut.
''UMNO dan BN kena berkembang seiring dengan minda rakyat Malaysia, kita tidak boleh terikut cara lampau kerana walaupun ia tidak semestinya salah, mungkin rakyat kini tidak dapat terima," katanya.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam 1Malaysia anjuran UMNO Bahagian Titiwangsa di sini malam ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi UMNO WP, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ketua MIC Bahagian Titiwangsa, Datuk M. Saravanan.
Muhyiddin menambah, walaupun kerajaan BN berjaya membangunkan negara ini sehingga sebahagian infrastruktur dan elemen lain setaraf dengan negara maju, generasi muda menganggap ia merupakan tanggungjawab kerajaan.
Beliau berkata, keadaan itu terhasil kerana golongan muda yang ramai terpelajar kini lebih cenderung melihat kepada unsur-unsur kemanusiaan seperti hasil dasar kerajaan BN selama ini.
Justeru, jelasnya, para pemimpin UMNO dan BN perlu sentiasa berubah dengan menerapkan gagasan 1Malaysia seperti yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, perubahan itu perlu dilakukan segera memandangkan pilihan raya umum akan diadakan dalam masa tiga tahun akan datang.
''Inilah gagasan 1Malaysia, selain perlu turun padang bagi meninjau masalah rakyat, kita juga perlu berupaya menyelami kemahuan dan tuntutan baru masyarakat,'' tegasnya.
Dalam pada itu, katanya, usaha UMNO Titiwangsa mengundang kesemua parti komponen BN dalam setiap majlisnya seperti malam ini merupakan permulaan awal yang bagus untuk kembali mendekati rakyat.
''Namun saya harap aktiviti UMNO dan BN Titiwangsa ini tidak terhenti setakat menganjurkan jamuan makan malam sahaja,'' katanya. - Utusan
Comments
Post a Comment