Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Wednesday, January 27, 2010

Nordin dakwa Anwar bersikap seperti 'diktator'

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa bersikap seperti 'diktator' dan tidak akan mendengar pandangan ahli partinya kerana beliau bimbang muslihat yang disusun, akan musnah di tangan pengikut sendiri.

Bekas Setiausaha Biro Penerangan Pemuda PKR, Nordin Ahmad berkata, sejak awal penubuhan parti itu, segala keputusan ditentukan oleh Anwar seorang diri.

Sehubungan itu katanya, beliau tidak terkejut jika lebih ramai ahli PKR terutama yang memegang jawatan tinggi akan mengikut rentak Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang memilih untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Negeri Pahang.


"Saya yakin Azan meletakkan jawatan kerana tidak tahan dengan sikap Anwar yang egois dan tidak mahu mendengar pandangan orang lain.

"Perkara ini telah terjadi kepada bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd. Noor, yang sanggup keluar parti kerana tidak mahu menurut kehendak Anwar yang bersikap seperti diktator dan gagal memperjuangkan nasib rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas peletakan jawatan Azan sebagai Timbalan Pengerusi Negeri Pahang yang berkuatkuasa kelmarin.

Azan turut melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Biro Keahlian PKR negeri, namun beliau masih menjadi Ahli Parlimen Indera Mahkota dengan mengekalkan keahlian parti dan sebagai Ketua PKR Bahagian Indera Mahkota.

Mengulas lanjut, Nordin yakin Azan membuat keputusan itu setelah berasa tertipu dengan Penasihat PKR itu.

"Memang benar Azan seorang pemimpin yang 'ikut buku' atau terikut dengan protokol kerana beliau seorang yang jujur dan benar-benar mahukan perubahan dalam parti,'' ujarnya.

Nordin yang merupakan individu terawal bertindak keluar daripada PKR atau ketika itu dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional (Keadilan), menyatakan kebimbangannya terhadap masa depan orang Melayu jika masih ramai yang terus memberi sokongan kepada pakatan pembangkang.

Katanya, negara akan kecoh jika diperintah oleh pakatan pembangkang ekoran Pas, PKR dan DAP masih dengan ideologi masing-masing dan keakraban yang mereka tonjolkan selama ini hanya lakonan semata-mata.

"Apabila timbul isu cah keting, memang tidak dinafikan perkara itu telah lama berlaku di dalam PKR, malah saya turut menyaksikan sendiri bagaimana Anwar dengan mudah melakukannya pada pilihan raya di sebuah kawasan di Selangor.

"Sehubungan itu tidak mungkin perkara yang sama akan dilakukan oleh Penasihat PKR tersebut kepada Pas dan DAP demi kepentingan dirinya,'' ujar beliau. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...