|
|
KUALA LUMPUR 7 Jan. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini membuat laporan polis terhadap portal berita Malaysiakini kerana menyiarkan komen pembaca yang boleh mencetuskan kemarahan masyarakat Islam.
Komen pembaca yang dikenali Ablastine itu disiarkan kelmarin di bawah berita bertajuk Kumpulan merancang membantah penggunaan kalimah Allah.
Dalam reaksi berbahasa Inggeris itu pembaca berkenaan menyatakan, ''Jika bukan Muslim dilarang untuk menggunakan perkataan Allah, saya menganggap perkataan itu boleh digolongkan sebagai F**K, bangsat, anak luar nikah, lubang d***r dan lain-lain.
''Tidak boleh dinyatakan melainkan anda adalah penulis Muslim. Kita akan menjadi lebih buruk daripada pihak Taliban. Moga tuhan membantu kita.''
Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, komen pembaca tersebut mengandungi perkataan-perkataan sensitif menghina kesucian agama Islam.
"Tindakan pengendali portal berita terbabit menyiarkan komen pembaca berkenaan umpama mencurah minyak ke dalam api dan tidak bertanggungjawab.
"Malaysiakini tidak wajar menyiarkan komen seperti ini demi mengelakkan suasana yang sudah tegang menjadi tidak terkawal," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Perkasa Negeri Perak, Ahmad Zaini Ismail dan beberapa ahli Perkasa.
Syed Hassan berkata, beliau membuat laporan itu supaya pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan terhadap portal berita tersebut termasuk pemberi komen terbabit.
"Setiap pemberi komen di Malaysiakini perlu melanggan, maka pada pendapat saya amat mudah untuk mengetahui identiti individu berkenaan," katanya.
Sementara itu, di Balai Polis Pudu, Perkasa turut membuat laporan polis terhadap satu artikel blog di dalam portal, Malaysia Today bertajuk No Holds Barred yang ditulis oleh Raja Petra Raja Kamarudin.
Setiausaha Perkasa, Mohd. Zainuddin yang membuat laporan itu pada pukul 10.30 pagi berkata, langkah itu dilakukan setelah membaca artikel tersebut pada 20 Disember lalu yang didapati berbaur hasutan.
"Artikel itu cuba menghasut orang ramai, khususnya orang Melayu, supaya menghapuskan institusi raja-raja Melayu dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara republik," katanya di sini hari ini.
Dalam artikel itu Raja Petra dipetik berkata, UMNO menganggap bangsa Melayu adalah bodoh dan mudah diperbodohkan selain mempersoal mengapa penggunaan kalimah Allah tidak dibenar digunakan dalam Bible berbahasa Melayu.
Menurut Mohd. Zainuddin, selain bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, Raja Petra juga mempertikaikan kedudukan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan sejak negara merdeka.
Katanya, selain itu, Raja Petra dilihat mempersendakan undang-undang, polis dan Peguam Negara yang masih gagal mencarinya.
Jelasnya, dalam sindiran itu Raja Petra menyatakan kegembiraannya selepas dapat menyambut tahun baru bersama dua wanita Poland.
"Saya membuat laporan ini supaya polis dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang cuba menggugat kestabilan dan keharmonian rakyat Malaysia," ujarnya. - Utusan
Comments
Post a Comment