Oleh Zainul Arifin
zainul@nstp.com.my
PALING dirisaukan mengenai isu kalimah Allah ini apabila ada pihak yang sengaja menangguk di air keruh. |
KITA tahu ramai orang Islam yang marahkan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' dalam majalah Herald-The Catholic Weekly.
Tetapi kita juga tahu ada juga orang Islam menyokong, atau tidak membantah keputusan itu. Pada mereka, perkara ini tidak menyalahi Islam serta keimanan mereka tidak mungkin diganggu-gugat dengan keputusan mahkamah itu.
Sudah tentu kedua-duanya mempunyai hujah masing-masing yang bernas. Tetapi kini mungkin kita menyaksikan satu fenomena baru yang mana perbezaan pendapat politik seakan-akan mempengaruhi pendirian kita dalam isu agama pula.
Contohnya Pas tidak membantah keputusan mahkamah. Begitu juga rakan-rakan kongsinya dalam Pakatan Rakyat, manakala Umno pula nampak bersendirian di dalam menyatakan kebimbangan dengan keputusan itu.
Adakah perbezaan pendirian berpunca daripada saingan politik?
Bagaimanapun, menurut bukti yang dikemukakan oleh gereja Katolik, memang jelas kalimah 'Allah' telah digunakan oleh orang Kristian di negara Arab, serta di Indonesia mahupun Malaysia, terutama di Sabah dan Sarawak untuk sekian lama. Ini satu kebenaran yang tidak boleh dinafikan oleh orang Islam di negara ini.
Tetapi berjuta orang Islam tidak tahu hal ini, dan oleh itu tiada apa yang hendak mereka bimbangkan. Bila kes ini dibawa ke mahkamah pula, tiba-tiba baru mereka sedar perkara sebenar. Kini mereka juga diberitahu bahawa 'Allah' akan dibenarkan oleh undang-undang untuk digunakan di gereja dan terbitan Kristian.
Semua orang tidak boleh nafikan perkara ini ialah sesuatu yang amat sensitif untuk orang Melayu Islam setelah sekian lama mereka percaya Allah khas untuk Islam.
Orang Islam yang percaya Allah itu satu, yang tidak dilahirkan atau melahirkan, akan berhadapan dengan keadaan di mana, walaupun di dalam agama lain wujudnya anak Allah.
Menurut Islam ini adalah 'blasphemy' atau menurut terjemahan Persatuan Peguam Muslim Malaysia, satu penistaan paling durjana.
Mahkamah membuat keputusan berdasarkan fakta, dan undang-undang negara, serta hujah-hujah peguam.
Mungkin keputusan mahkamah tidak perlu mengambil kira apakah kesan sampingan terutama perasaan orang Islam yang mungkin terguris. Bukan tugas mahkamah menjaga hati orang.
Jadi apakah jalan penyelesaian kita? Untuk kes ini rasanya kita perlulah tunggu tamat sepenuhnya proses mahkamah. Tetapi apa yang kita boleh katakan, apa sekalipun keputusan tidak akan memuaskan hati semua pihak.
Kita tahu isu berhubung agama � sama ada hendak memeluk atau meninggalkan Islam, atau membina atau memindah kuil � adalah perkara amat rumit dan sensitif.
Paling utama ialah untuk semua pihak berbincang dan berdebat dengan penuh bijaksana dan budi pekerti. Cari titik pertemuan dan persamaan, bukannya perkara yang membezakan kita. Ini penting kerana kita berbilang bangsa dan agama.
Cubalah jauhi mahkamah untuk perkara berhubung agama kerana keputusan mahkamah akan berada di tangan manusia. Adalah tidak wajar jika kita mempertanggungjawabkan hal agama kepada manusia. Keputusan manusia boleh dicabar dan dipinda.
Alangkah besarnya masalah kita jika mahkamah dijadikan tempat menentukan hal ehwal agama dan kepercayaan.
Tidak guna kita berdebat sama ada keputusan mahkamah itu betul atau tidak. Bukan saja ia menghina mahkamah tetapi ia juga tidak akan membawa kita ke mana-manapun, kecuali lebih mengeruhkan keadaan.
Dalam hal agama, adakah antara kita, tidak kiralah Islam atau Kristian atau Hindu, sanggup bertolak ansur jika kita rasa kedudukan agama kita mungkin tergugat?
Kita kini perlukan kepemimpinan pada saat saat begini untuk meningkatkan perbincangan antara agama dan kaum untuk mengatasi masalah sebegini yang pastinya akan datang menghantui kita lagi.
Tetapi apa yang kita tidak perlu ialah orang yang mengambil kesempatan menuduh orang � ini atau itu.
Ada pemimpin politik melihat cubaan untuk membakar gereja sebagai peluang untuk menuding jari. Memanglah kita suka berpolitik, terutama jika kita hanya perlu bercakap saja tanpa perlu melakukan apa-apa. Tetapi kita perlu menjaga dan menentukan apa yang dikatakan bukannya akan lebih memburukkan keadaan.
Mungkin boleh mendapat sokongan, tetapi apakah itu nilai kepemimpinan dan tarikan pimpinan jika hanya boleh mendapat undi apabila menimbulkan marah dan benci?
Kepemimpinan yang kita mahukan ialah mereka yang memberi wawasan dan penyelesaian, menunjuk arah dan bukannya mahu memecah-belahkan.
Siapa boleh tentukan tindakan ekstremis? Siapa boleh tentukan ada orang yang akan cuba membakar gereja di negara ini? siapa boleh sangka seorang anak muda akan mengamuk membunuh keluarganya serta memenggal kepala orang tuanya.
Ini semua tindakan yang tidak boleh diterima. Oleh itu tidaklah boleh dipalitkan perbuatan satu dua manusia dengan kejahatan masyarakat atau komuniti. Ini dikatakan menangguk di air keruh, dan mencari modal politik dalam bencana. - Berita Harian
Comments
Post a Comment