Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Wednesday, January 27, 2010

Isu Allah: Anwar Dibidas Burukkan Imej Negara


KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dibidas kerana dikatakan memberi gambaran tidak tepat mengenai isu kalimah "Allah" dalam tulisannya dalam akhbar luar negara bagi tujuan politik.

Setiausaha Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Wira Syed Ali Alhabsee yang juga Ketua Umno Bahagian Cheras, berkata Anwar juga sedang giat melobi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar negara untuk memburukkan imej kerajaan berhubung isu kalimah 'Allah'.

"Perbuatan beliau bersekongkol dengan negara luar termasuk media asing amat membimbangkan kerana apa yang sebenarnya berlaku di negara ini berhubung isu kalimah Allah telah diputarbelitkan," kata beliau dalam blognya.

Katanya Penasihat PKR itu menuduh kononnya kerajaan gagal menangani isu serangan ke atas beberapa gereja Kristian dan rumah ibadat agama lain tiga minggu lalu.

"Tindak-tanduk itu merupakan satu pengkhianatan dan memberi gambaran seolah-olah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didokong UMNO telah menzalimi kaum minoriti di negara ini," tegasnya.

Beliau mengulas artikel Anwar dalam The Wall Street Journal yang bertajuk "Muslim Have No Monopoly over Allah" (Orang Islam Tidak Mempunyai Monopoli terhadap Allah) baru-baru ini.

Beliau juga kesal Anwar menuduh pemimpin UMNO dan akhbar arus perdana bertanggungjawab memperbesar-besarkan pelbagai isu dan sentimen kaum untuk kepentingan politik. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...